Tindakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjelajah ke 18 lokasi utama menjelang keputusan perbicaraan kes Liwat II pada 9 Januari ini dilihat sebagai satu tindakan peribadi dan cubaan untuk menanam kebencian di hati rakyat kepada kerajaan.
Tindakan ini secara langsung juga membuktikan bahawa perjuangan PKR bukanlah untuk membela nasib rakyat tetapi lebih membela nasib Anwar Ibrahim.
Menurut penceramah bebas, Ustaz Kamal Saidin, sesi jelajah Anwar ini sebenarnya bertujuan untuk menggambarkan bahawa kerajaan itu zalim dan tidak telus apabila keputusan itu tidak menyebelahi dirinya.
“Dia seakan sudah mengetahui bahawa dia bakal didapati bersalah dan sesi jelajahnya itu adalah bertujuan menaikkan semangat bencikan kerajaan dan undang-undang di hati rakyat.
“Sebab itulah pembangkang sudah mula mengaitkan kes Anwar ini dengan kes Khir Toyo kononnya hukuman yang dikenakan terhadap Khir Toyo adalah satu sandiwara undang-undang. Rakyat harus sedar bahawa undang-undang tidak kenal siapa dan sistem penghakiman negara ini telus dan adil serta berdasarkan bukti.
“Tindakan Anwar hanya bersifat zahir bagi melindungi hakikat sebenar perbuatannya. Anwar ini penuh dengan tipu muslihat dan kelebihan berkata-kata digunakan sepenuhnya bagi mempengaruhi rakyat. PKR yang dikatakan ingin membela nasib rakyat sebenarnya hanyalah satu sandiwara kerana PKR sebenarnya hanya membela nasib Anwar Ibrahim,” jelasnya kepada UMNO-Online.Sistem perundangan tidak memilih bulu dan beliau amat berharap agar rakyat lebih peka dan tahu membezakan kebenaran dan retorik pembangkang mengaburi mata masyarakat terutamanya pengikut tegar Anwar Ibrahim.
Katanya lagi, rakyat harus menggunakan akal fikiran yang dikurniakan dan jangan kerana taksub kepada seseorang pemimpin sehingga ‘membutakan’ mata dan akal kepada kebenaran.
“Jangan terus membiarkan nafsu mengawal akal fikiran kita. Anwar Ibrahim terlalu licik berdrama sehinggakan ramai yang terpengaruh dengannya.
“Dengan menanamkan rasa benci dan tidak percaya kepada kerajaan dan undang-undang di hati rakyat, akan mendatangkan banyak keburukan termasuklah perpecahan sesama Islam. Oleh itu, kita harus berfikir secara bijak dan jangan hanya mengikut telunjuk yang telah diketahui ketidaklurusannya,” ujarnya lagi. –MediaUMNO
0 comments:
Post a Comment