Tuesday, December 27, 2011

PEMIMPIN POLITIK PERLU BERMUHASABAH DIRI

Beberapa minggu kebelakangan ini, peribahasa Melayu "memikul biawak hidup" menjadi topik perbualan, terutamanya di kalangan orang politik tempatan.

Semuanya bermula apabila Datuk Syed Ali Alhabshee, Ketua UMNO Bahagian Cheras, menggunakan bidalan itu untuk menggambarkan kesulitan yang dihadapi UMNO mengenai persoalan yang masih tiada jawapan berhubung kontroversi menyelubungi Perbadanan Feedlot Negara kerana penerajunya mempunyai pertalian dengan seorang pemimpin UMNO pusat.

Bukannya sukar untuk menduga kenapa Syed Ali menggunakan peribahasa itu kerana malahan dalam kehidupan sebenar, bukannya mudah untuk memikul biawak hidup yang pasti akan mengundang bahaya.

Biawak apabila terkepung atau berasa tersepit, cenderung untuk menggigit dan berusaha melepaskan diri daripada bahaya itu. Di dalam mulutnya dikatakan mengandungi bakteria bahaya dan manusia boleh mati akibat jangkitan bakteria itu sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Dengan bahaya sedemikian rupa, siapa yang berani memikul biawak hidup kecuali sudah diikat atau dikurung?

Oleh yang demikian, kebimbangan Syed Ali boleh difahami kerana beliau mahu UMNO bebas daripada sebarang bebanan apabila ia "bertarung" untuk mendapatkan undi dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau bimbang tindak tanduk atau tindakan sesetengah anggota Umno boleh menjejaskan atau menjadi liabiliti kepada parti.

Menjadi liabiliti atau terpalit isu kontroversi merupakan sesuatu yang pasti akan cuba dielakkan seboleh mungkin oleh mana-mana ahli politik untuk kekal relevan atau mendapat sokongan.

Bagi ahli politik Barisan Nasional, ini amat signifikan dengan apa yang diutamakan oleh Presiden UMNO dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak -- mempunyai calon boleh menang pada pilihan raya umum akan datang.

Sejak berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO kira-kira sebulan lepas, kriteria "calon boleh menang" semakin mendapat perhatian dan bagi pemimpin politik yang ingin dipilih sebagai calon, ini merupakan masa untuk bermuhasabah diri demi kepentingan parti.

Najib, dalam memperkatakan pandangannya mengenai ciri-ciri calon boleh menang untuk memastikan keputusan lebih baik pada pilihan raya umum akan datang, menggambarkan orang itu sebagai seseorang yang diterima majoriti pengundi di sesuatu kawasan dan juga oleh jentera parti.

Menurut Syed Ali, ahli politik harus sedar bahawa suara rakyat yang akan menentukan sama ada mereka naik atau turun dalam dunia politik.

Beliau turut menggunakan satu lagi peribahasa Melayu -- "kerana nila setitik rosak susu sebelanga" untuk menggambarkan ahli politik yang dipalit kontroversi akan mencemarkan parti.

Oleh yang demikian, beliau mengingatkan pemimpin dan anggota UMNO akan baiah yang mereka ikrarkan bersama-sama Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada penutup Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini bahawa mereka akan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri sendiri.

Mungkin ahli politik juga perlu berpegang kepada satu lagi peribahasa lama iaitu :"Jika anda ingin mengetahui masa lampau anda, lihat pada keadaan semasa anda. Jika anda ingin tahu masa depan anda, lihat pada tindakan semasa anda." -- BERNAMA

0 comments:

Related Posts with Thumbnails