Thursday, June 21, 2018

UMNO PERLU DIBINA SEMULA MELALUI SAYAP PEMUDA #umnomemilih #raziz4excopemuda

Pemilihan UMNO pada kali ini merupakan kali pertama dalam sejarah Malaysia merdeka dijalankan dalam keadaan UMNO tidak memegang kerajaan Persekutuan.

Logika akal menyatakan bahawa dalam situasi sebegini pemilihan sepatutnya suram tetapi bilangan calon yang menawarkan diri untuk bertanding adalah luar daripada kebiasaan.

Ini adalah suatu tanda yang positif terhadap UMNO menandakan masih ramai yang mahu bersama UMNO meskipun tiada apa lagi yang mampu ditawarkan melainkan wadah untuk terus memperjuangkan hak dan kepentingan orang-orang Melayu.

Begitu juga dengan sayap Pergerakan Pemuda UMNO yang telah membariskan seramai 217 orang calon bagi mengisi 20 kekosongan kerusi ahli jawatankuasa yang masing-masing membawa pelbagai agenda untuk memperkasakan dan membina semula parti keramat orang Melayu ini.

Sedar atau tidak, jumlah pencalonan yang tinggi ini adalah refleksi kepada keputusan PRU ke-14 telah menunjukkan rata-rata pengundi muda tidak memilih UMNO sekaligus menunjukkan Pemuda UMNO gagal menambat hati golongan tersebut.

Pelbagai alasan, sebab malah teori dikemukakan atas kekalahan tersebut namun yang jelas adalah kumpulan sasar di bawah tanggung jawab sayap Pemuda tidak memberikan hasil seperti yang diharapkan.

Atas dasar tersebut, maka adalah realistik untuk menyatakan bahawa proses pembaharuan dan pembinaan semula UMNO harus dilakukan pertamanya melalui Sayap Pemuda itu sendiri selain turut diperkukuhkan oleh Sayap Puteri yang mewakili golongan wanita muda.

Elemen yang perlu diterjemahkan semula oleh Pemuda UMNO adalah mengambil kira soal asas perjuangan itu sendiri.

Persoalan "Mengapa saya bersama UMNO" haruslah diperjelaskan oleh setiap ahli pemuda dan jawapan kepada persoalan ini haruslah menjadi asas pegangan kepada perjuangan.

Dengan asas yang kukuh, perjuangan akan menjadi ikhlas dan dilakukan tanpa mengharap apa-apa ganjaran.

Asas perjuangan ini haruslah diterapkan bukan sahaja kepada ahli UMNO sahaja tetapi perlu dikongsi bersama rakyat agar mereka merasai, menjiwai dan akhirnya menyokong perjuangan UMNO.

Sejarah telah membuktikan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu sentiasa menjelajah ke seluruh negara menggerakkan orang-orang Melayu untuk berjuang bersama UMNO dan seterusnya menjadi golongan pendesak terhadap isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.

Pertautan antara parti dan rakyat juga harus ditambah baik supaya sentiasa dipandang lantang dan hebat dengan menyusuri secara santun dan berhikmah supaya tidak dianggap kurang ajar mahupun biadap.

Dahulu Pemuda UMNO pernah dikenali sebagai Pemuda Tahan Lasak dengan mengadakan khemah-khemah kerja di serata tempat dan telah berjaya menarik ramai anak muda untuk menyertai UMNO selain diperkasa dengan agenda Revolusi Mental yang telah disusun oleh bekas Ketua Pemuda ketika itu, Allahyarham Datuk Senu Abdul Rahman.

Revolusi Mental ketika itu mengandungi petunjuk-petunjuk bercorak intelektual yang menyentuh keperibadian orang Melayu dengan bertujuan merubah cara berfikir, pandangan dan sikap ahli masyarakat sesuai dengan kehendak serta keperluan semasa.

Dalam keadaan seperti mana yang dihadapi ketika ini, sesungguhnya Pergerakan Pemuda UMNO memerlukan Revolusi Mental 2.0 yang asasnya haruslah selari dan seiring dengan apa yang digariskan 49 tahun yang lalu bersesuaian zaman teknologi digital.

Pemuda seharusnya keluar daripada kepompong persepsi lama yang mana sekadar dilihat sebagai jentera bekerja sahaja dan bukannya golongan yang mampu memberi input-input positif dalam pembuatan keputusan samada di peringkat nasional sehinggalah ke peringkat cawangan.

Kita tidak boleh terus menerus menyalahkan orang lain kerana tidak memberi peluang tersebut kerana persepsi tersebut secara terus menerus dilakar oleh diri kita sendiri.

Percambahan ilmu dan imej intelektual amat diperlukan terutamanya di peringkat nasional agar Pemuda UMNO itu sendiri secara organisasinya dipandang hebat oleh rakyat dan digeruni oleh parti lawan.

Sikap dan sifat keterbukaan dalam Pemuda UMNO itu sendiri perlu diamalkan keseluruhannya tanpa mengenepikan mana-mana individu yang mempunyai kebolehan dan pengalaman untuk menyumbang bakti kepada UMNO.

Sikap dan sifat tidak 'melayan' ini memperlihatkan sifat sombong dan elitis yang secara realitinya wujud di kalangan segelintir Pemuda UMNO.
Ini pada akhirnya akan menyebabkan golongan muda tidak lagi mahu bersama UMNO bukan kerana parti tetapi kerana sikap segelintir individu di dalam parti.

Meskipun UMNO sebagai sebuah parti yang tidak boleh dinafikan jasanya terhadap rakyat dan negara, tetapi atas sikap sebegini akhirnya rakyat memilih untuk menolak UMNO.

Pemilihan pada kali ini membuka ruang dan peluang untuk UMNO terutamanya Pergerakan Pemuda UMNO untuk berubah cara dan kaedah berkhidmat untuk rakyat serta memberi ruang kepada muka-muka baru untuk menyumbang khidmat bakti membina semula kekuatan parti berasaskan nilai dan asas perjuangan yang sebenar.

Sekiranya perubahan ini benar-benar dapat dilaksanakan oleh Pergerakan Pemuda UMNO, tidak mustahil untuk UMNO itu sendiri bangkit semula dan dapat memenangi hati rakyat Malaysia pada masa akan datang.

AHMAD RAZIZ BIN RASHID
CALON 207
EXCO PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
Related Posts with Thumbnails