Sunday, December 25, 2011

perutusan penuh perdana menteri sempena hari krismas

Apa yang paling saya suka mengenai waktu Krismas ialah ia mengingatkan kita semua untuk menyebarkan perasaan muhibah dan kegembiraan, tepat pada masanya untuk menyambut Tahun Baru dan membuat permulaan yang baru. Tidak salah sekiranya kita diingatkan sekali-sekala. 

Saya sentiasa percaya bahawa sebagai sebuah negara yang mengamalkan kesederhanaan, kita mesti merebut peluang untuk memupuk persefahaman yang lebih baik antara rakyat Malaysia daripada budaya dan kepercayaan yang berbeza. 

Saya telah menengahkan kepercayaan saya ini pada bulan Julai lalu, apabila saya mengetuai delegasi Kerajaan untuk membuat kunjungan hormat kepada Pope Benedict XVI di kediaman musim panas beliau di Castel Gandolfo, dan berkongsi dengan beliau wawasan saya mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global. 

Dari lawatan kerja itu, Malaysia dan Holy See (Vatican City) telah bersetuju untuk mewujudkan hubungan diplomatik, yang saya harap akan membawa kepada pautan dan dialog antara agama yang lebih erat antara kita. 

Begitu juga, di negara kita, saya turut komited untuk mengukuhkan lagi interaksi yang telah lama wujud dengan masyarakat Kristian. Saya sentiasa berusaha untuk bertemu dengan Rakyat dari pelbagai kepercayaan. 

Saya akan meneruskan amalan ini untuk mendapatkan idea-idea dan pendapat anda untuk kebaikan masyarakat kita. Di Malaysia, sambutan yang khusus bagi budaya dan agama semakin diterima dan disambut lebih ramai penduduk Malaysia, contohnya seperti adat memberi hadiah yang selalunya diamalkan sewaktu Krismas. 

Menarik jika diperhatikan bagaimana amalan pelbagai budaya serta agama di negara kita ini bersepadu antara satu sama lain dan seterusnya sebati dalam masyarakat kita. 

Sambutlah Krismas ini dengan memahami rakan-rakan rakyat Malaysia anda dengan lebih baik, dan hargai mereka diatas kepelbagaian dan kekuatan yang mereka bawa kepada negara kita yang kita cintai ini. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Kristian, Selamat Hari Natal.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails