Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk memotong bekalan elektrik sekiranya mendapati ada pemilik kafe siber yang menyalahgunakan premis perniagaan dengan menjadikannya sebagai pusat judi haram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisoner Zahruddin Abdullah berkata, tindakan itu juga boleh dikenakan terhadap pemilik kafe siber yang degil dan masih meneruskan operasi pusat judi haram walaupun premis mereka pernah diserbu pihak berkuasa.
“Walaupun mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, namun kita sedang mengkaji kaedah pelaksanaan dan tindakkan mengikut undang-undang.
“Sebelum potong bekalan elektrik, kita perlu memastikan dalam premis berkenaan memang wujud aktiviti mesin perjudian haram,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Dalam pada itu, Zahruddin berkata, polis akan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk membenteras kegiatan pusat judi haram yang semakin berleluasa di negeri ini.
Menurutnya, dakwaan sesetengah pihak kononnya polis ‘memejamkan mata’ terhadap kegiatan perjudian ternyata meleset apabila sudah melakukan 2,393 serbuan di seluruh negeri ini sejak awal tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 767 premis berjaya disita.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, 933 orang ditahan dan 8,991 komputer yang diubahsuai menjadi mesin judi online turut dirampas.
“Siasatan kami mendapati kesemua premis yang diserbu menyalahgunakan lesen perniagaan yang dikeluarkan MPPP.
“Sehubungan itu, semua pemilik kafe siber diingatkan agar tidak menyalahgunakan premis perniagaan mereka atau bakal berdepan dengan tindakan undang-undang,” katanya.
Zahruddin berkata, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1998.
SUMBER SINAR HARIAN
0 comments:
Post a Comment