Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pulau Pinang mahu bertemu dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng bagi membincangkan tentang dilema yang dihadapi orang Melayu di negeri ini.
Ketuanya, Mohd. Rizuad Azudin berkata, pihaknya akan menghantar satu surat berdaftar esok kepada Guan Eng bagi memaklumkan perkara itu.
Menurutnya, Wira Perkasa memberi tempoh dua minggu kepada ketua menteri itu untuk memberi maklum balas dan jika tiada sebarang jawapan diperoleh, Guan Eng akan dianggap bukan seorang wakil rakyat berjiwa rakyat.
"Kami akan mengadakan 'kekecohan' lebih besar jika tidak dapat berjumpa Guan Eng dalam tempoh dua minggu. Ia bagi membincangkan masalah-masalah dihadapi orang Melayu di negeri ini kepadanya.
"Kami mahu beliau jawab mengenai isu rumah mampu milik yang telah diuar-uarkannya dan juga tindakan meroboh kedai orang Melayu yang tidak mendapat sebarang pampasan atau wang ihsan," katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Rizuad, sudah banyak cara dibuat oleh mereka untuk berjumpa dengan Guan Eng, namun tidak pernah diberi peluang itu.
"Selalunya kami berdemonstrasi, namun tidak sekali pun dapat berjumpa dengan beliau. Kali ini kami beri surat secara rasmi dan kami mahu beliau berjumpa dengan Wira Perkasa," ujarnya.
Tambah Mohd. Rizuad, telah banyak risalah diedarkan oleh kerajaan negeri mengenai penyediaan rumah mampu milik, namun tiada projek pembinaan dijalankan.
"Ini merupakan satu taktik untuk menarik pengundi memandangkan pilihan raya umum semakin dekat. Sebab itu banyak risalah diedarkan kepada rakyat di negeri ini mengenai rumah mampu milik," katanya.- UTUSAN
0 comments:
Post a Comment