Tuesday, January 3, 2012

HUDUD PAS VS HUDUD ALLAH

Demi kepentingan politik, perjuangan Pas kini didakwa membelakangi perjuangan asal parti itu termasuk bekerjasama dengan parti bukan Islam.


Bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad mendakwa, pemimpin ulama Pas berjaya dipengaruhi golongan profesional bersifat sekular dengan menguasai pemikiran dan meyakinkan mereka akan menang besar dalam pilihanraya.


Beliau berkata, akibat penyelewengan itu, Pas menggubal Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 dengan memberi pilihan kepada bukan Islam sama ada mahu menerima hudud atau tidak.


Menurutnya, ia sekali gus bertentangan perjuangan asal Pas, iaitu menguatkuasakan undang-undang Islam seluruh negeri dengan tidak meletakkan perbezaan atas sebab-sebab berlainan bangsa, agama, pangkat kecuali dalam perkara yang berhubung ibadat dan undang-undang kekeluargaan.


“Manifesto kulit hijau pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1986, muka surat lima jelas membincangkan berkaitan hukum hudud tersebut dan pada muka surat 24 turut tercatat: "Orang bukan Islam sama sahaja di sisi undang-undang jenayah dan sivil dengan orang-orang Islam".


“Namun, pada PRU 1990, perjuangan Pas mula terpesong apabila bersekongkol dengan Semangat 46, apabila parti itu bekerjasama dengan DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan alasan akan menang besar dan ia benar-benar berlaku. Oleh itu, dalam sudut ini, Pas dan Umno tidak berbeza," katanya kepada pada sidang media di sini, semalam.


Berliau berkata demikian sebagai menyahut cabaran Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah semasa wacana Sinar Harian November lalu yang mahukan mana-mana pihak tampil ke depan dan mendedahkan sekiranya hudud yang ingin dilaksanakan Pas Kelantan tidak betul.


Wan Ismail yang pernah menjadi calon Pas di Parlimen Machang pada PRU 1986 berkata, hukum hudud yang diluluskan dalam mesyuarat Dun Kelantan pada 1993 adalah hudud Pas, bukannya hudud Islam.


Beliau percaya perkara tersebut turut didorong perasaan takut kepada pemimpin DAP, terutama Pengerusinya, Karpal Singh yang secara terang-terangan menentang hukum hudud.


Malah, katanya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menegaskan bahawa masalah mengenakan hukum hudud kepada orang bukan Islam, tidak termasuk dalam perkara yang dinaskan dalam al-Quran dan Hadis.


“Pada pandangan Hadi dalam kenyataan berkenaan, hukuman hudud yang dilaksanakan ke atas orang Islam sahaja tidak akan berjaya bagi mengurangkan kes jenayah bahkan akan menimbulkan masalah baru," katanya.


Wan Ismail berkata, Hadi memberi contoh, seorang pencuri bukan Islam tidak akan dipotong tangan walaupun sah dia mencuri dan orang Islam pula akan dipotong jika sabit kesalahan.


"Orang mencuri itu sudah tentu tidak takut dosa, kalau takut dosa, dia tidak akan mencuri, orang macam ini, terlalu mudah akan mengisytiharkan dia bukan Islam bagi mengelakkan tangannya dipotong.


"Saya tiada kepentingan dalam politik dan pendedahan ini kerana tanggungjawab terhadap seluruh umat Islam," katanya yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1967.


http://mulutmelayu-realiti.blogspot.com

0 comments:

Related Posts with Thumbnails