Thursday, October 13, 2011

DATUK ZAHRAIN: HAPUSKAN SEKOLAH VERNAKULAR


Ahli Parlimen Bebas bagi Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim hari ini menyarankan supaya sistem pendidikan negara diolah semula dengan menghapuskan sistem sekolah pelbagai aliran atau vernakular yang didakwanya menyebabkan polarisasi kaum di negara ini. 

Justeru, beliau meminta kerajaan mewujudkan semula sekolah wawasan bagi memastikan murid-murid dididik dalam persekitaran majmuk dan seterusnya melahirkan generasi akan datang yang lebih bersatu padu dan tidak hanya memikirkan kepentingan kaum masing-masing. 

"Malaysia bukan negara Cina, Malaysia bukan negara India dan Malaysia juga bukan negara Arab. Malaysia kita adalah satu negara majmuk dan seharusnya sistem pendidikan kita diolah kembali,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 di Dewan Rakyat di sini. 

Zahrain berkata, transformasi sistem persekolahan atau pendidikan peringkat sekolah rendah dan menengah kini pincang kerana sistem peninggalan penjajah menyebabkan kemunculan generasi yang rasis dan hanya memikirkan kepentingan kaum masing-masing. 

Beliau juga merujuk kepada perbuatan pelakon dan penyanyi rap Wee Meng Chee atau Namewee yang didakwanya kurang ajar hingga mudah memaki hamun seorang wanita dalam klip video terbarunya. "Saya pasti Namewee tidak akan bertindak sebegitu liar dan memaki hamun seorang wanita dalam klip video terbaru-nya jika beliau diasuh secara betul dalam persekitaran yang majmuk,” katanya. – Bernama

0 comments:

Related Posts with Thumbnails