antara petikan ucapan ketua pemuda umno malaysia yb khairy jamaluddin pagi tadi.
.
Saya ingin menegaskan bahawa sifat dan bentuk peralihan generasi yang kita perlukan bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan yang besar dan menyeluruh. Ia bukanlah seperti menyalin tikar lama dengan mengkuang baru. Ia bukanlah sekadar suatu peralihan kepimpinan lama dengan menggantikannya dengan wajah-wajah muda.
Sebagai generasi pemimpin muda parti dan negara, Pemuda mesti berada di hadapan setiap kelok perubahan demi mengisi gagasan peralihan generasi. Dalam konteks ini, ingin saya tegaskan kita haruslah menjiwai makna dan falsafah gagasan peralihan generasi dan tasawwur ini dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Tiada gunanya jika kita sekadar bersorak dan bertepuk tangan secara membuta tuli menyambut setiap pengumuman YAB Perdana Menteri, tanpa memahami dengan jelas rasional dan sebab tindakan tersebut. Sokongan kita terhadap langkah-langkah progresif seperti pemansuhan ISA mesti berlunaskan satu kesedaran mendalam tentang tuntutan tasawwur atau "worldview" baru, bukan kerana membodek ketua.
Saya akui, kita tidak mungkin setanding dengan 'Amr al-As ataupun Khalid ibn Al-Walid. Namun saya yakin ada di kalangan Pemuda yang sudah bersedia menggalas tanggungjawab yang lebih besar. Kami dilatih, dididik dan diasuh dalam kilang UMNO. Kami berharap melalui konsep "winnable candidate", tiada lagi calon yang dipilih atas dasar simpati mahu pun calon pakai kabel. Sebaliknya, "winnable candidate" perlu dipilih atas dasar merit dan keupayaan sebenar. Kami menunggu dengan penuh kesabaran waktu dan giliran untuk tampil ke hadapan. Kami sama sekali tidak mendesak untuk mengganti yang lama, jauh sekali dari mengaku sebagai terbaik dari semua yang ada. Cuma sekadar ingin menyatakan dengan satu suara dan harapan, intai dan jenguk-jenguk jualah Pemuda dalam memilih "winnable candidate" akan datang.
Pemuda juga ingin menghantar amaran yang keras. Kami kesal dengan sikap sesetengah kelompok yang hari ini menyokong konsep "winnable candidate", kononnya berikrar akan membantu "winnable candidate" untuk menang, sebaliknya beria-ia menunjukkan muka di ambang pilihanraya kerana menganggap diri mereka sebagai "winnable candidate". Tetapi apabila harapan tidak kesampaian, sokongan serta sumbangan terhadap parti dibiar mati bersama angan-angan yang tak menjadi. Ini bukan bentuk mentaliti yang kita mahu. Kalau masih ada golongan sedemikian yang bukan sahaja terang-terang menyokong pembangkang tetapi juga memboikot secara senyap – yang langsung tak buat kerja, yang membawa diri merajuk sepi, yang menghilangkan diri, yang tak keluar mengundi – kita minta tindakan tegas terhadap mereka ini sebagai pembelot kepada parti.
Di bawah kepimpinan hari ini, Pemuda UMNO ditransformasi dan diberi wajah baru, penjenamaan baru, pengisian baru. Jika dulu Pemuda pernah dianggap kumpulan pendesak, jurubicara masyarakat atau sekadar pelengkap kepada pimpinan parti. Hari ini Pemuda telah membuka lembaran baru. Kini, imej dan identiti Pemuda UMNO tidak lagi dilihat atau dikenali sebagai satu sayap politik yang hanya tahu bermain retorik. Maka, Pemuda kini berdiri sebagai sebuah pertubuhan yang kreatif dan proaktif dalam menyelesaikan masalah dan isu generasi muda. Inilah yang dimaksudkan "politik khidmat bakti" atau "solutions driven politics" oleh Pemuda UMNO.
Dalam Model Baru Politik, Pemuda tidak seharusnya menjadi entiti yang hanya pandai bercakap dan menolak segala selok belok pelaksanaan kepada Kerajaan. Sebaliknya, Pemuda sendiri perlu terlibat secara terus dan aktif dalam merangka dasar dan menyampaikan penyelesaian berkesan melalui program-program kita sendiri. Ini kerana, apabila bercakap tentang politik, hanya ada dua perkara yang akan terngiang-ngiang di benak pemikiran orang muda hari ini. Pertama "What can you do for us?" dan keduanya kepercayaan bahawa "Talk is cheap" atau cakap senang la. Jadi tukang karut sahaja tak guna.
Filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul 6 Jahanam mengisahkan tentang 6 orang penjenayah yang membuat onar dalam masyarakat dengan perbuatan merompak, mencuri, membunuh dan merogol. Hari ini masyarakat kita tidak terlepas daripada terpaksa berhadapan dengan 6 Jahanam versi moden – polemik politik pembangkang jijik! Buktinya adalah melalui percubaan pembangkang yang berangan-angan melaksanakan 6 formula kehancuran negara yang saya sifatkan sebagai formula 6 Jahanam.
0 comments:
Post a Comment