UMNO tiada kebebasan bersuara?
APAKAH benar dalam UMNO tidak ada lagi kebebasan bersuara. Kalau begitu, apakah peluang berucap di setiap Perhimpunan Agung UMNO bukan satu kebebasan bersuara?
Banyak yang boleh diperdebatkan, apabila timbul dakwaan negatif seperti itu.
Sebenarnya kebebasan bersuara bergantung kepada keberanian ahli untuk bersuara. Kalau tidak berani, maka tidak ada maknanya menuntut kebebasan bersuara.
Kebebasan bersuara tidak akan wujud jika yang bercakap itu takut pada bayang bayang sendiri.
Kita belum pernah mendengar, pembahas di Perhimpunan Agung UMNO dikenakan tindakan disiplin atau dipecat daripada parti.
Bahkan ada jurucakap yang ‘diboo’ kerana kuat mengampu.
Perwakilan meluat dengan jurucakap seperti itu. Jenaka keterlaluan ketika berbahas juga semakin tidak diminati.
Bagaimanapun, berani bercakap sahaja belum memadai. Bercakap mestilah ada isi. Jangan berani mengkritik kerana gagal dapat kontrak dan tender atau yang berkaitan dengan kepentingan diri.
Sedangkan dalam soal dasar, takut dan menyepi.
Tetapi jika berani mengkritik soal dasar sedangkan pendiriannya sendiri tidak konsisten atau dia tidak buat apa yang dikatakannya, ia juga tidak membawa sebarang makna. Ini sering berlaku kepada mereka yang dulunya ada kedudukan terutamanya yang berjawatan Menteri.
Apabila bercakap tanpa ‘substance’ ia punca seseorang pemimpin itu dianggap tidak lagi relevan. Tidak ada pihak yang berminat menjemputnya untuk berceramah, merasmikan apa-apa majlis bahkan tidak mempedulikan lagi apa yang dikatakannya.
Pemimpin seperti ini mudah terasa, dirinya disisih lantas mendakwa tidak ada kebebasan bersuara dalam UMNO.
Sepatutnya pemimpin seperti ini tidak menyalahkan parti, jika tidak lagi disanjung atau dijulang. Salahkan diri sendiri.
Seseorang pemimpin mungkin pakar dalam bidang tertentu. Cakap dan hujahnya sentiasa didengar. Contohnya pakar ekonomi atau pakar agama. Di waktu dia masih tip top, beribu orang akan menghadiri ceramahnya. Tetapi berapa lama pakar ini boleh bertahan.
Sebab itu ada pakar agama, jika hujahnya sudah mula ketinggalan, lebih suka menghukum dari berdakwah dan dia sendiri tidak mempraktikkan apa yang dikatakannya, maka siapa lagi yang mahu mendengar ceramah atau cakapnya.
Mereka ini mula ditinggalkan dan tidak lagi diberi platform. Mereka ini sudah sudah tentu akan mendakwa dia disekat, akhirnya menuduh tidak ada lagi kebebasan bersuara dalam parti.
Ini menjadi punca seseorang tokoh yang dianggap hebat satu ketika dulu mudah tersinggung, kecil hati, merajuk dan terus menghilangkan diri.
Berbeza dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau pernah diaibkan sehingga gagal menjadi perwakilan G7. Beliau pernah keluar parti. Tetapi pandangannya masih berbisa, berani dan berisi. Maka beliau terus disanjung. Ada juga pandangannya yang disanggah. Tapi beliau konsisten.
Sebab itu beliau masih mendapat banyak platform untuk bercakap. Bahkan dia turut dijemput merasmikan beberapa Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian 2011.
Pokoknya, kebebasan bersuara berhubung kait dengan diri seseorang. Berani, konsisten, ada isi, cakap serupa bikin dan mengutamakan rakyat. Ini yang perlu ada kepada setiap ahli dan pemimpin UMNO.
UMNO tidak menyekat sesiapa untuk bersuara dan mengkritik. Kebebasan bersuara tersekat, kerana ahli itu sendiri menyekat dirinya untuk bersuara. Takut bayang bayang sendiri. Takut tidak bertempat.
Justeru, perhimpunan agung bukan pentas untuk para pembahas mencari populariti, menonjolkan diri sebagai ‘winnable candidate’ kerana sorakan dan hilai ketawa yang diterima. Masyarakat luar memerhatikan gelagat mereka.
Ini adalah perhimpunan agung terakhir sebelum pilihan raya umum. Masyarakat sedang menilai sama ada UMNO memang berubah dan melakukan transformasi politik. Maka berbahaslah dengan hati nurani. Bukan kepura- puraan. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Ingatlah, UMNO masih parti orang Melayu. Pertahankanlah apa yang sudah termaktub dalam perlembagaan. Justeru, ahli dan pemimpin UMNO tidak boleh bersikap apologetik. Berkompromi ada batasnya. Tolak ansur ada hadnya.
Kalau dulu boleh diterima sebagai kontrak sosial, tidak ada sebab ia dikorbankan satu persatu. Ingat mengingati, tegur menegur adalah sebahagian daripada kebebasan bersuara.
Jangan menang sorak kampung tergadai. Ketika itu tuntutan untuk kebebasan bersuara sudah terlambat dan sia-sia.
sumber dari Ahli Majlis Kerja Tertinggi
UMNO Malaysia
0 comments:
Post a Comment