KERAP menerima undangan nyanyian yang memerlukannya muncul bersama Wings menyebabkan Awie merancang menghasilkan projek baru dengan kumpulan itu.
Sering tertangguh untuk mengotakan azam mereka menghasilkan album selepas muncul dengan album studio terakhir pada tahun 2002, Awie menganggap album kali ini dapat mengubati rindu peminat Wings yang ternanti-nanti akan album studio mereka.
Biarpun pernah keluar sementara daripada kumpulan tersebut untuk muncul solo, Awie kembali bersama Wings pada tahun 2002 dan kini semakin giat mengadakan banyak konsert bersama Wings.
Mengakui cukup selesa membawa nama Wings, Awie nyata masih sayangkan kumpulan itu dan kini fokus untuk merealisasikan impian bersama mereka dengan mengumpulkan material bagi album tersebut.
“Kami kini masih lagi mengumpul material untuk album baru kami nanti dan berharap segalanya berjalan lancar.
“Menariknya mengenai album ini adalah semua lagu merupakan lagu baru bagi membolehkan kami mempersembahkan karya yang segar kepada peminat Awie dan Wings,” katanya sambil memberitahu masih berbincang untuk pemilihan lagu.
Ditemui semasa majlis eks’PDC 1 Malaysia bersama Awie ke Beijing dan Mongolia yang diadakan di Royal Bintang The Curve, baru-baru ini, pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman ini mengakui kesulitan yang mereka hadapi adalah mencari penulis lirik yang sesuai untuk lagu mereka.
Menurutnya, kebanyakan lagu yang mereka kumpul mempunyai melodi yang menarik namun belum menemui lirik yang hebat seperti yang terdapat dalam lagu-lagu lama mereka.
“Ramai yang tahu kebanyakan lagu kumpulan Wings dihasilkan oleh arwah Loloq dan JS Kevin. Lagu- lagu seperti Taman Rashidah Utama, Intanku Kesepian, Misteri Mimpi Syakila dan Sejati mempunyai lirik yang hebat dan menjadi lagu berhantu kepada peminat.
“Jadi, kami ingin mengembalikan aura dan fenomena peminat muzik rock kepada karya baru kami ini sama seperti sambutan mereka terhadap lagu-lagu lama. Inilah antara kesukaran yang kami hadapi setelah hampir tiga tahun tidak keluar dengan album baru,” katanya.
Teringin nyanyi lagu lama
Melihat permintaan terhadap lagu-lagu lama Wings yang sehingga kini menerima sambutan hangat, Awie turut terfikir untuk memberi nafas baru buat lagu tersebut.
Bagaimanapun, menurut suami kepada Rozana Misbun ini, setakat ini Wings masih lagi tiada perancangan untuk memasukkan lagu-lagu lama di dalam album baru mereka itu.
“Setakat ini, kami tiada sebarang perancangan memberi susunan muzik baru bagi lagu-lagu lama Wings. Namun, pada masa akan datang tak tahu lagi.
“Saya sebenarnya teringin juga menyanyikan lagu-lagu lama yang diberi nafas baru," katanya.
Dalam perkembangan lain, pelakon yang terkenal dengan watak Husin dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah ini juga bakal bekerjasama sekali lagi dengan pengarah, Mamat Khalid untuk filem baru yang berjudul Amukan Frankenstein Tempatan.
sumber SH
arab sebagai peminat setia awie dan wings gembira bila baca berita ini. tahniah kepada awie/wings
0 comments:
Post a Comment