The Wall Street Journal (WSJ) kini menjadi alat untuk pemain politik tertentu yang sedang mencari peluang merosakkan reputasi Datuk Seri Najib Razak untuk kepentingan peribadi, kata Putrajaya hari ini.
Ia berkata demikian sebagai respons kepada pendedahan terbaru dibuat akhbar perniagaan yang berpangkalan di Amerika itu yang mendakwa Najib menerima lebih daripada AS$1 bilion dalam akaun peribadinya.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini, "kempen anti Najib bermotifkan politik" gagal kerana peguam negara Malaysia sudah pun mengesahkan dana yang diterima adalah sumbangan dari Arab Saudi.
"Ini disahkan pelbagai pihak berkuasa yang sah yang menjalankan siasatan menyeluruh.
"Ini termasuk pihak berkuasa Malaysia yang pergi ke Arab Saudi memeriksa dokumentasi dan menemubual anggota keluarga diraja dan pegawai-pegawai yang menguruskan sumbangan itu.
"Menteri Luar Arab Saudi juga mengesahkan dana itu datang dari Arab Saudi," kata kenyataan itu.
Katanya, WSJ dan entiti sekutunya meneruskan serangan mereka dan cuba mengaitkan dana pelabur negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan sumbangan itu.
Putrajaya juga berkata, WSJ "mengulangi tuduhan lama yang sama tanpa memberikan bukti" dan "bergantung semata-mata kepada sumber-sumber tanpa nama yang mungkin tidak wujud," sambil memilih untuk meninggalkan fakta utama yang sudah diketahui.
"WSJ kini dengan rela dijadikan tunggangan pelakon politik tertentu yang sedang mencari peluang merosakkan reputasi perdana menteri dan Malaysia untuk kepentingan peribadi.
"Tetapi kempen anti Najib yang bermotif politik ini, yang cuba menggunakan media Barat, gagal.
"Perdana menteri memberi tumpuan kepada isu-isu utama yang penting kepada Malaysia, terutama memerangi ancaman keganasan, dan mengukuhkan ekonomi dalam menghadapi cabaran global.
"Angka pertumbuhan Malaysia baru-baru ini, yang melepasi jangkaan, mengesahkan pelan ekonomi perdana menteri berhasil," kata kerajaan.
WSJ hari ini melaporkan perdana menteri menerima lebih daripada AS$1 bilion - beratus juta lebih daripada yang dikenal pasti sebelum ini.
Akhbar itu berkata, sumber penyiasat antarabangsanya percaya, kebanyakannya berasal dari 1MDB.
1MDB menafikan ia memasukkan sebarang wang ke dalam akaun peribadi Najib.
WSJ mula mendedahkan mengenai akaun bank peribadi Najib Julai lalu tetapi masih belum didakwa perdana menteri, yang menafikan semua dakwaan itu.
Peguam Negara Malaysia Tan Sri Mohamad Apandi Ali berkata Januari lalu, tiada bukti mencukupi untuk mendakwa Najib dengan sebarang salahlaku berkaitan wang AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang dijumpai di dalam akaun bank peribadinya.- malaysia insider
0 comments:
Post a Comment