Wednesday, March 2, 2016

TUN M KELUAR UMNO. AHLI UMNO KENA MENCARI JALAN MEMPERKASAKAN PARTI

Keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan keluar daripada UMNO bukan pilihan terbaik kerana tindakan tersebut akan menimbulkan krisis terhadap parti Melayu itu untuk menempuh masa depan.

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, sebagai seorang pemimpin berwibawa dan bersifat lantang di arena antarabangsa serta ASEAN, keputusan Dr. Mahathir itu juga sukar diterima oleh logik akal.

Kata beliau, walau bagaimanapun keputusan itu tetap dihormati kerana beliau secara peribadi tidak boleh melupakan segala jasa Dr. Mahathir yang pernah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

“Sekiranya trend semua bekas pemimpin besar UMNO keluar parti seperti yang pernah berlaku dahulu melibatkan saya, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Musa (Tun Musa Hitam), Tunku Abdul Rahman, maka ini akan mengulangi perkara yang berlaku pada 1987 dan 1988 (UMNO diharamkan). Tindakan itu sekali gus me­nimbulkan krisis pada UMNO untuk menghadapi pelbagai kemungkinan di masa depan.

“Cara Dr. Mahathir hendak mendapatkan perhatian dan tentangan terhadap pucuk kepemim­pinan dengan keluar UMNO tidak akan memberi impak positif yang menyeluruh. Adalah lebih baik beliau memberi ingatan kepada kepe­mimpinan supaya menggunakan rasional dan tertib dalam mengikuti prosedur dan berdisiplin, bukan keluar daripada parti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Dr. Mahathir buat kali kedua mengumumkan keluar daripada UMNO kerana mendakwa perjuangan parti itu bukan lagi seperti dahulu.

Mengulas lanjut, Rais berkata, keadaan UMNO sekarang tidak kuat kerana Dr. Mahathir yang juga bekas Presiden telah keluar, bekas Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula digantung manakala salah seorang Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal telah berada di luar kerajaan.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak agar jangan mengeluarkan bahasa-bahasa yang boleh merosakkan lagi perpaduan lagi serta mendatangkan kepedihan dalam parti kerana beliau yakin Dr. Mahathir tidak akan berperangai sebegitu sampai bila-bila.

“Kita harus mengekalkan budi dalam UMNO dan memikirkan cara berfikir serta bertindak dalam UMNO. Kata-kata seperti ‘baguslah beliau keluar dan meninggalkan parti, lebih senang kita hendak membentuk balik’, ‘habis duri dalam daging’ tidak akan membantu kita untuk mencari jalan memperkasakan orang Melayu.

“Dalam hal ini, apakah transformasi sebenar yang boleh dilakukan oleh UMNO? Bagi saya semua ahli perlu fokus untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya kerana ia bukan sesuatu yang mudah. Berdasarkan perkiraan saya, selain 1987, tahun ini (2016) merupakan tempoh yang sukar untuk parti,” katanya.
Kata Rais: “Cuma nasib baik beliau (Dr. Mahathir) sudah mengisytiharkan tidak akan masuk pembangkang, ini menandakan kasih sayangnya pada UMNO tidak mati. Masih ada harapan.” - sumber utusan 



0 comments:

Related Posts with Thumbnails