Sunday, August 28, 2011

Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Somalia anjuran Kelab Putera 1Malaysia

Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Somalia anjuran Kelab Putera 1Malaysia, iaitu misi negara ke-15 yang bakal dijayakan oleh kelab itu disifatkan sebagai paling berbahaya dari segi aspek keselamatan.

Namun, atas dasar kemanusiaan bagi membantu kira-kira 217,000 kanak-kanak yang bakal mati kebuluran dalam tempoh tiga minggu jika tiada bantuan makanan dan perubatan disalurkan, perasaan takut dan bimbang perlu diketepikan, kata Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Bercakap kepada Perak Today di Putrajaya hari ini, kelab itu katanya, akan ke Somalia pada 28 Ogos ini bagi menyampaikan sumbangan kepada rakyat negara itu yang diancam bencana kemarau dan kebuluran.

Jelasnya, misi kemanusiaan itu turut disertai Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) dan Kumpulan Media Prima dan mereka dijangka berada di sana selama 10 hari sebelum pulang ke tanah air pada 8 September.

“Selain 40 doktor perubatan, kita juga membawa bekalan lapan tan makanan dan dua tan ubat-ubatan seperti vaksin untuk diserahkan kepada lima klinik yang akan dibuka di sana nanti.

“Kita juga membeli lebih 250 tan makanan di Mogadishu dan Dubai untuk diagih-agihkan ke tiga kawasan utama yang terjejas teruk akibat kebuluran antaranya kem Badbadu di Mogadishu dan Merka yang terletak kira-kira 200 km dari Mogadishu iaitu kawasan yang paling bahaya bagi misi kemanusiaan kali ini.

“Namun, kita komited untuk membantu kerana rakyat di situ benar-benar memerlukan makanan dan diancam kebuluran dan hasil maklumat yang diperolehi, kita akan diterima baik kerana bantuan yang dihulurkan itu datang dari Malaysia dan bukannya negara Barat,” tegasnya lagi.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez meminta rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama serta fahaman politik supaya memberi sokongan padu kepada misi kemanusian itu, sekaligus dapat menjayakan misi itu dan pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Bantuan yang dihulurkan kelab itu juga katanya, hasil sokongan BAKTI yang diterajui oleh Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor yang akan memantau dan memastikan ia sentiasa berterusan bagi membantu rakyat Somalia yang menderita akibat kebuluran dan kemarau.

Menurut Abdul Azeez lagi, pada awalnya syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia masing-masing bersetuju untuk menjayakan misi kemanusiaan itu bagi membawa rombongan disertai doktor perubatan dan pengamal media tetapi akhirnya dibatalkan kerana tiada syarikat insurans mahu menjual insurans kepada pesawat MAS.

“Saya merayu kepada Perdana Menteri untuk membantu menjayakan misi kemanusiaan ke Somalia dengan menggunakan pesawat Charlie 130 yang dijangka berlepas pagi Ahad ini,” tambahnya lagi.

Pada 17 Ogos lalu, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan Media Prima sekali lagi melancarkan Tabung Bencana dengan kerjasama MERCY Malaysia serta Perdana Global Peace Foundation (PGPF) bagi mengutip dana untuk disalurkan kepada mangsa kebuluran di Somalia.

Majlis pelancaran disempurnakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya.

Dr Mahathir mengucapkan tahniah kepada tiga badan yang komited membantu rakyat Somalia dan mahu usaha itu dicontohi dan diteruskan pada masa depan.

sumber dari: peraktoday

0 comments:

Related Posts with Thumbnails