KUALA LUMPUR 13 Jun – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan menggerakkan semua ahlinya dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghalang Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan perhimpunan di ibu negara pada 9 Julai depan.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali (gambar) bagaimanapun berkata, Perkasa tidak akan meneruskan hasrat itu sekiranya Bersih mengadakan perhimpunan itu di tempat yang lebih selamat dan bukannya di tempat awam.
Menurutnya, perhimpunan itu seharusnya diadakan di tempat yang selamat seperti di stadium dan bukannya di jalan raya kerana ia akan merugikan negara dan mengancam keselamatan nyawa.
“Sangat jelas saya akan berada di sana nanti sekiranya mereka tetap mengadakan perhimpunan itu dan akan berlaku pertembungan.
“Kehadiran Perkasa adalah untuk pertahankan keselamatan negara dan bukannya untuk menimbulkan kekecohan, tetapi kita mahu menghalang perhimpunan itu daripada terus berlaku,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Dalam pada itu Ibrahim berkata, Perkasa akan menganjurkan perbincangan meja bulat bersama 30 NGO Melayu malam esok yang antara lain turut membincangkan mengenai perhimpunan Bersih.
Katanya, perjumpaan itu akan membincangkan mengenai kesan-kesan yang akan dihadapi terutama dari aspek keselamatan, ekonomi dan pelancongan kepada negara.
“Perkasa telah membuat ketetapan bahawa kita akan menentang perhimpunan ini habis-habisan,” katanya.
Sementara itu Ibrahim berkata, beliau sedia disiasat pihak berkuasa sekiranya pembangkang tetap mahu tindakan diambil terhadapnya atas alasan keselamatan.
“Saya juga bersedia untuk menjawab soalan-soalan yang mungkin dibangkitkan pembangkang semasa sidang Dewan Rakyat ini berlangsung,” katanya.
sumber - Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment