Thursday, June 9, 2011

FATWA VIDEO SEX DAN PAS

MAJLIS Fatwa Kebangsaan diminta mengeluarkan ketetapan sama ada rakaman video seks boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah bagi meredakan isu berkenaan yang didakwa melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi mengelakkan isu video seks itu terus menjadi polemik serta dipolitikkan pihak berkepentingan seperti dilakukan Pas baru-baru ini.

"Dalam perkara ini biarlah Majlis Fatwa Kebangsaan menentukan adakah video ini boleh dijadikan bahan bukti kerana dalam Islam perlukan empat saksi dan saksi itu mestilah saksi yang beriman.

"Saksi beriman ini adalah subjektif, adakah mereka yang sembahyang lima waktu sahaja atau mereka yang melakukan solat sunat melebihi orang lain. Hanya Allah sahaja yang tahu siapa sembahyang sunat lebih daripada orang lain, bukan berdasarkan dahi yang hitam," katanya.

Ahmad Zahid mengulas pendirian Pas yang mendakwa rakaman video seks dikaitkan dengan Anwar sebagai satu fitnah dan tidak boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah kerana tidak mempunyai mata serta telinga.

Ketika menutup Muktamar Tahunan Pas Ke-57 semalam, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sesuatu klip video tidak boleh dijadikan bukti kerana parti tersebut berpegang kepada konsep empat saksi terutama dalam kes liwat dan zina.

Tindakan Pas bermuka-muka dalam isu video seks yang didakwa membabitkan Anwar adalah sesuatu yang menjengkel dan memalukan parti itu yang kononnya berteraskan perjuangan Islam.

Utusan melaporkan, Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kasim berkata, pendirian Pas yang mengetepikan video tersebut dalam hal mencari kebenaran perlu dikecam kerana parti itu mempunyai ketetapan lain semasa membicarakan isu video bekas pemimpin MIC, D.P. Vijandran dan video peguam V.K. Lingam.

"Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang cuba memperbodoh, menghina dan merendahkan kekuatan intelek dan pemikiran rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Islam.

"Pendirian ini juga ternyata bercanggah dengan pendirian mereka tatkala menuntut agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja mengenai isu video klip V.K. Lingam dan begitu juga tatkala isu video seks D.P. Vijandran dulu. Ternyata mereka mengamalkan pendakwaan berpilih," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, Pas memegang konsep empat saksi yang adil untuk membincangkan hal zina dan liwat sedangkan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berpendirian video seumpama itu boleh dijadikan bukti di mahkamah atau disebut sebagai keterangan dokumentari.

Ruslan menambah, kenyataan Abdul Hadi mengenai konsep itu hanyalah satu kenyataan politik dangkal bagi memuaskan nafsu politik parti yang kini beralih daripada kepimpinan ulama kepada kepimpinan profesional dan condong menyokong Anwar atau digelar Anwarinas.

"Jelas kepada rakyat bahawa kenyataan dan pendirian ini terpaksa dibuat oleh Presiden Pas untuk memuaskan hati dan perasaan kumpulan Anwarinas yang telah menguasai kepimpinan tertinggi Pas dalam pemilihan yang berlangsung dua hari lalu.

"Ia juga bertepatan dengan dasar baru Pas yang telah bertukar daripada prinsip didahulukan kepada kemenangan diutamakan dan Putrajaya menjadi impian," katanya sinis.

Bekas Felo Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan Saludin pula berkata, pendirian Abdul Hadi itu jelas menunjukkan Pas telah mengetepikan prinsip 'amal maaruf nahi mungkar' yang menjadi panduannya selama ini.

"Ini terbukti apabila agenda menetapkan pendirian berhubung dakwaan salah laku seks yang dilakukan oleh pemimpin parti pembangkang diketepikan begitu sahaja dengan menggangap ia sebagai fitnah.

"Ini adalah sesuatu yang pelik sedangkan ramai umat Islam mengharapkan satu pendirian lebih tegas dapat diambil oleh sebuah parti politik Islam seperti Pas," katanya.-6/6/2011

sumber dari agendaily.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails