Badan Perhubungan UMNO negeri menegur sikap tamak segelintir syarikat milik kerajaan (GLC) yang mampu meraih keuntungan berbilion ringgit setiap tahun tetapi bersikap dingin dalam menjalankan program membantu golongan yang memerlukan.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, lebih mendukacitakan, sudah wujud kecenderungan ketara di kalangan GLC yang hanya mengadakan program berbentuk kebajikan di kawasan yang diwakili oleh nama-nama besar dalam politik.
''Kalau mereka 'sakit', GLC minta tolong kerajaan membantu dengan menggunakan duit rakyat tetapi apabila mereka membuat untung, mereka sudah lupa untuk mengembalikan sedikit keuntungan itu kepada rakyat.
''Ini yang buat kita sedih kerana sebagai syarikat dimiliki kerajaan, mereka juga ada tanggungjawab sosial yang wajar dipikul bersama kerajaan untuk membantu golongan di bawah yang masih memerlukan pembelaan," katanya.
Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Juara Rakyat Bersama NGO, Swasta dan Media anjuran UMNO bahagian tersebut yang dirasmikan Penasihat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Shahidan Kassim di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Ramlan Ishak.
Musa menarik perhatian tentang keperluan GLC memperluaskan lagi program kebajikan serta bantuan untuk sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar bagi melahirkan lebih ramai golongan cerdik pandai di kawasan berkenaan pada masa depan.
''Janganlah GLC hanya membantu di kawasan yang diwakili orang-orang besar dalam politik. Sepatutnya kita membantu atas rasa ikhlas, bukannya membantu untuk mencari kepentingan sendiri," ujarnya.
Menurut Musa, GLC juga boleh memainkan peranan lebih aktif membina rumah-rumah mampu milik serta membaiki kediaman usang golongan miskin agar matlamat kerajaan mendekatkan jurang sosial antara masyarakat bandar dan luar bandar mampu dicapai.
sumber: utusan malaysia
sumber: utusan malaysia
0 comments:
Post a Comment