Thursday, January 23, 2014

FUNGSI RAJA DAN YDP AGONG.



Sebagai Ketua Agama Islam

Raja adalah Ketua Agama Islam dalam Negerinya setakat yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Negerinya.48 Bagi Negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, iaitu Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Melaka dan juga Wilayah Persekutuan, maka Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam.49 Ini termasuklah negeri di mana Yang di-Pertuan Agong itu datang.50 Fungsi keagamaan kepada Yang di-Pertuan Agong telah dimasukkan ke dalam Perlembagaan Malaysia melalui Akta Malaysia, 1963. Kemudiannya seksyen 11, Akta (Pindaan) Perlembagaan (No. 2) 1973 telah memasukkan fungsi Ketua Agama Islam kepada Yang di-Pertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan. Dan seterusnya, seksyen 3 Akta (Pindaan) Perlembagaan 1976 telah memasukkan fungsi ini kepada Yang di-Pertuan Agong bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak.

Di antara kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam hal ehwal agama Islam termasuklah kuasa mengampun dan menangguh hukuman-hukuman atau meremit, menggantung atau mengurangkan hukuman-hukuman yang dijatuhkan oleh mana-mana Mahkamah yang mengawal hal ehwal agama Islam di Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak atau Wilayah Persekutuan.51

Sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera

Yang di-Pertuan Agong ialah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan.52 Dalam menjalankan fungsi ini, satu Majlis Angkatan Tentera yang ditubuhkan di bawah Perkara 137(1) Perlembagaan Persekutuan akan bertanggungjawab di bawah kuasa am Yang di-Pertuan Agong atas perintahan, tatatertib dan pentadbiran angkatan tentera dan segala perkara lain mengenainya.

Dalam Mempersetujui Rang Undang-Undang

Mengikut peruntukan Perkara-perkara 66(1) dan 68 Perlembagaan Persekutuan, sesuatu rang undang-undang, kecuali rang undang-undang kewangan, hendaklah mendapat Perkenan di-Raja sebelum ia boleh menjadi undang-undang.53

Memberi Ucapan di Parlimen

Yang di-Pertua Agong boleh memberi ucapan dalam mana-mana Majlis Parlimen atau dalam kedua-dua Majlis Parlimen itu serentak. Perkara ini diperuntukkan di dalam Perkara 60 Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga Raja-raja boleh memberi ucapan di Dewan Undangan Negeri di negeri-negeri masing-masing.

Hadir dan Memberi Ucapan Dalam Upacara-upacara Rasmi Negara atau Negeri

Yang di-Pertuan Agong biasanya hadir dalam upacara-upacara penting negara seperti pada Hari Kemerdekaan, Maulidur Rasul dan lain-lain. Begitu juga Raja-raja di Negeri-negeri akan hadir dan memberi ucapan-ucapan di hari-hari penting di negeri baginda. Begitu juga dalam menerima tetamu penting Negara asing dan melawat Negara asing atau menerima pembesar-pembesar negeri-negeri lain. Fungsi-fungsi ini walau bagaimanapun adalah merupakan fungsi rasmi pentadbiran sahaja dan tidak terikat dengan peruntukan mana-mana undang-undang bertulis. Ianya lebih merupakan lambang martabat, darjat, penghormatan dan kebesaran Yang di-Pertuan Agong atau Raja-raja itu sendiri.54

Sebagai Pelindung

Tugas memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain adalah di tangan Yang di-Pertuan Agong.55 Begitu juga adalah menjadi tugas Raja-raja di sesuatu negeri untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu di negerinya.

“Peruntukan-peruntukan ini tidak boleh dipersoal dan adalah perlu untuk membantu yang kurang maju dan bernasib baik dari segi keadaan-keadaan yang ujud dalam negara pada waktu kemerdekaan” – Hakim Besar Lee Hun Hoe, dalam kes Fan Yew Teng lwn Pendakwaraya.56

Taraf perlindungan Raja ke atas orang Melayu dan yang berkaitan dengannya seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan adalah begitu ketat sekali sehinggakan pindaan57 kepada Perkara 153 itu tidak boleh diluluskan oleh Parlimen dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja.58 Hatta jika pihak kerajaan bercadang membuat apa-apa perubahan tentang dasar mengenai tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153 sekalipun Majlis Raja-raja hendaklah diminta fikirannya mengenai hal itu.59

48 Perkara 3(2) Perlembagaan.

49 Perkara 3(3)(5) Perlembagaan.

50 Perkara-perkara 3(3) dan 34(1) Perlembagaan.

51 Perkara 42(10) Perlembagaan.

52 Perkara 41 Perlembagaan.

53 Walaupun begitu, tertakluk kepada Perkara 66(4B), ia tetap menjadi undang-undang walaupun tanpa perkenan jika mematuhi Perkara 66(4) atau 66(4A). Lihat juga perbincangan sebelum ini mengenai hal ini.

54 Begitulah juga dalam pemberian darjah atau pingat kebesaran, penaung dan seumpamanya.

55 Perkara 153(1) Perlembagaan Persekutuan.

56 (1975) 2 M.L.J. 235, 238.

57 Perkara 159(6) Perlembagaan Persekutuan mentafsirkan, “pindaan”, sebagai termasuklah tambahan dan pemansuhan.

58 Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan.

59 Perkara 36(5) Perlembagaan Persekutuan.

Di atas adalah cabutan daripada, Abdul Aziz Hussin. 1992. Institusi Raja. Kota Baharu: Dian Darulnaim Sdn. Bhd., hlm. 62-65.

sebagai seorang bekas pakar perlembagaan aziz bari macamana boleh kata kuasa raja dan agong ikut negeri pulak..
- Posted using BlogPress from my iPad

1 comments:

Anonymous said...

apa peguam negara leh buat? apa PM leh buat? apa menteri2 leh buat? apa pempin2 UMNO leh buat? ..semua dah tak berdaya..walaupun kuasa ada ditangan.

Tak tahu ler takut mendenya..LGE ngan Khalid Ibrahim, selamba je guna kuasa.

Related Posts with Thumbnails