Sunday, January 6, 2013

KETUANAN MELAYU WAJID DIPERTAHANKAN.....

FRASA 'ketuanan orang Melayu' menyemarakkan kebanggaan kepada setiap orang Melayu di samping menjadi perangsang generasi muda untuk terus memartabatkan bangsa di mata dunia.

Beberapa kekuatan yang dimiliki bangsa Melayu, seperti perpaduan, penguasaan dalam politik dan ekonomi, ilmu pengetahuan tinggi dan sokongan daripada Allah, adalah antara faktor yang mengharuskan orang Melayu menjadi tuan di tanah airnya sendiri.

Kekuatan ini seperti sudah menjadi hak milik tetap bangsa Melayu. Dengan kekuatan ini orang Melayu seterusnya mampu untuk menjadi tuan di bumi ini.

"Allah berjanji kepada orang antara kamu yang percaya, dan membuat kerja kebaikan bahawa Dia sesungguhnya menjadikan kamu pengganti di bumi sebagaimana Dia menjadikan orang yang sebelum mereka pengganti-pengganti" (24:55).

Jelaslah untuk orang Melayu menjadi pengganti atau tuan di bumi ini, mereka perlu percaya kepada Allah dengan berpegang teguh kepada Kitab-Nya, al-Quran, sambil membuat kerja baik untuk setiap manusia.

Matlamat bangsa Melayu untuk menjadi pengganti di bumi kelihatan hampir dicapai sepenuhnya. Mereka sudah sampai hampir ke pelosok dunia dalam urusan perniagaan, atau memberi khidmat sebagai pakar dalam sesuatu bidang, atau menjadi tokoh disegani dalam bidang tertentu. Ini untuk menyebut beberapa contoh sahaja.

Kehebatan bangsa Melayu dilihat juga pada angkatan bersenjata negara, termasuk pasukan polis, yang turut dianggotai bangsa lain.

Setelah berjaya menewaskan gerila komunis dan fahamannya dalam negara, mereka dijemput berkhidmat di luar negara sebagai pasukan pengaman. Khidmat cemerlang mereka di tiga benua membuka mata dunia.

Dalam bidang pendidikan, dunia benar-benar berasakan kehadiran orang Melayu. Pelajar Melayu yang di luar negara dengan bilangan yang begitu ramai menunjukkan kepintaran mereka sehingga ramai daripada mereka menerima anugerah dan kepujian.

Namun, kekuatan orang Melayu yang dianggap menjadi hak milik tetap mungkin menjadi sementara sahaja. Hakikatnya, ia boleh berlaku kerana pada masa ini, orang Melayu tidak lagi bersatu hati, apatah lagi jika mereka tidak dapat terus menguasai bidang politik.

Perpaduan bangsa Melayu mula retak apabila timbul segolongan pihak yang membawa fahaman agama baru. Ia dikatakan baru kerana dalam agama masyrakat Melayu sebelum ini belum pernah timbul amalan mengkafir sesama Islam dengan meluas.

Amalan ini yang dilarang Allah, mula bertunas lebih sedekad lalu. Lantas, tumbuh bibit perpecahan sehingga menjadi ketara apabila masjid dijadikan alat permisahan kerana ada orang Melayu bersolat jemaah dengan dua imam berlainan fahaman.

Kudis yang tumbuh itu kini menjadi pekung pula. Keadaan menjadi lebih merunsingkan apabila lahir amalan memurtadkan orang Melayu lain serta mengancam untuk membunuh atas nama Islam. Sekali lagi mereka menunjukkan ketidakpercayaan kepada Allah. Jangan sangka perkara ini ringan. Kemurkaan Allah sesuatu yang amat berat lagi ditakuti.

Kekalutan dalam agama bagi orang Melayu disemarakkan sesetengah ulama yang nyata membelakangkan ajaran Tuhan yang terkandung dalam al-Quran. Walaupun ajaran ulama banyak dipersoalkan, kebanyakan orang Melayu masih bertaut kepada mereka.

Mereka menerima bulat-bulat ajaran ulama tanpa mengkaji sendiri kandungan al-Quran sebenarnya. Al-Quran memang mudah difahami sebagai sebuah kitab yang memberi petunjuk. Firman-Nya, "Sesungguhnya Kami memudahkan al-Quran untuk peringatan. Adakah sesiapa yang mengingatinya?" (54:17).

Ayat ini diulang, perkataan demi perkataan, sebanyak empat kali di dalam sebuah surah, iaitu surah al-Qamar (Bulan). Malangnya ayat ini tidak diajar ulama. Mereka mengajar perkara sebaliknya dengan menyatakan al-Quran sukar difahami atau pengkajiannya memerlukan ilmu tertentu termasuk ilmu tafsir.

Ilmu tafsir hanya mengandungi pendapat orang yang lazimnya pendapat orang zaman dahulu mengenai pengertian ayat al-Quran. Ia didapati bengkok setelah diuji. Sebagai bukti dikemukakan contoh ayat yang dipetik daripada kitab "Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada pengertian Al-Qur'an" (edisi kelima, 1992), karya seorang ulama tempatan.

Contoh ayat: "Dan bandar-bandar yang ditunggangbalikkan itu, Dialah yang (mengangkatnya ke angkasa dan) menghempaskannya ke bumi". Tafsiran ini bagi ayat al-Quran 53:53.

Apabila dibandingkan tafsiran ini dengan pengertian sebenar ayat itu maka didapati ia hanya khayalan ulama itu. Ayat 53:53 sebenarnya bererti "Dan negeri yang musnah, Kami menjatuhkannya juga".

Contoh lain. Tuhan jelas menunjukkan waktu untuk berpuasa iaitu dari waktu fajar hingga ke malam. Firman-Nya, "Dan makan dan minumlah, sehingga benang putih menjadi jelas bagi kamu daripada benang hitam, pada fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sampai malam" (2:187).

Ayat ini ditafsirkan ulama dengan cara dicurigai sehingga mewajibkan umat berpuasa dari waktu subuh hingga ke waktu maghrib. Kedua-dua waktu ini dengan sebutan namanya saja menunjukkan kelainan dengan waktu fajar dan malam seperti yang disebut Tuhan.

Waktu subuh adalah waktu sebelum fajar, sementara waktu maghrib pula adalah waktu sebelum malam. Perkataan malam adalah 'lail' dalam bahasa Arab. Dalam konteks al-Quran, waktu malam adalah waktu gelap iaitu waktu yang tiada lagi cahaya siang.

Perkataan subuh dan fajar ada kaitan dengan amalan solat. Daripada al-Quran, dan hadis, didapati dengan jelas sebutan nama 'solatil fajri', atau solat fajar, bukan 'solatil subhi', atau solat subuh, seperti yang diajar ulama.

Lantaran timbul persoalan mengenai sebutan bagi niat solat itu di kalangan orang Melayu yang berani menyoal.

Demikian itu adalah hanya beberapa kekalutan yang dikesan dalam agama orang Melayu akibat ajaran ulama.

Kembali kepada memperkatakan hal perpecahan orang Melayu. Setelah terbahagi kepada dua golongan kerana agama, muncul pula satu golongan baru untuk memecahkan lagi bangsa kepada tiga kelompok.

Perpecahan kali ini berpunca daripada soal wang. Golongan ini tidak berpuas hati dengan pengagihan kekayaan dan berkehendakkan jumlah yang diterimanya menjadi lebih besar. Lantas mereka memperbesarkan soal kroni atau kronisme.

Mereka menimbulkan masalah dalam kepimpinan negara lalu melencong kepada isu lain dalam perjuangan yang akhirnya dipolitikkan. Isu agama pun menjadi salah satu daripada agenda mereka.

Tanda kehancuran kaum Melayu menyerlah lagi apabila generasi mudanya terlibat dalam kegiatan yang membelakangkan budaya bangsa.

Apa yang dilakukan tidak menuju ke arah matlamat yang membolehkan bangsa Melayu menjadi tuan di tanah airnya sendiri. Sebaliknya tindakan yang dilakukan menuju ke arah penghapusan bangsa.

Mungkin kejadian ini tidak pernah terlintas pada fikiran orang Melayu kerana jiwa mereka ditanam dengan kata hikmat lagi keramat, 'takkan Melayu hilang di dunia'.

Namun, penghapusan sesuatu kaum tidak mustahil berlaku dan pernah pun berlaku beberapa kali dalam sejarah manusia.

Seperti itulah amaran Allah berbunyi "Jika Dia mengkehendaki, Dia menghapuskan kamu, dan sesudah kamu untuk menggantikan kamu, apa yang Dia kehendaki, sebagaimana Dia menumbuhkan kamu daripada keturunan kaum yang lain. Apa yang kamu dijanjikan, itu pasti datang" (6:133-134).

0 comments:

Related Posts with Thumbnails