PASIR PUTEH 2 Julai – “Ambiga jangan fikir kuat sangat.” Demikian peringatan keras Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga yang tetap berdegil untuk mengadakan perhimpunan haram di ibu negara pada Sabtu ini.
Perdana Menteri berkata, majoriti rakyat, termasuk lebih 20,000 yang hadir pada Majlis Bersama Rakyat di padang Sekolah Kebangsaan Sri Aman dekat sini, menentang sebarang tindakan pihak terbabit untuk mencetuskan kekecohan di ibu negara sehingga boleh menjejaskan keamanan dan ekonomi negara.
Katanya, sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, beliau boleh mengarahkan ahli-ahli parti untuk berdepan dengan kumpulan tersebut tetapi tidak berbuat demikian kerana mengambil kira kesan buruk yang mungkin berlaku.
Katanya, jika kacau-bilau berlaku, keadaan itu akan menjejaskan kestabilan ekonomi dan menjejaskan perjuangan pemimpin BN terdahulu dalam membangunkan negara sehingga maju ke tahap ini, tetapi hendak dirosakkan oleh Ambiga.
“Jadi, Ambiga janganlah fikir kuat sangat, kita kenal siapa Ambiga. Kita tidak akan tunduk kepada Ambiga sama sekali, kita akan perjuangkan yang benar. Kita simpan kuku kita dulu, kita jangan hunus keris kita sebab kalau ambo (saya) bagi isyarat, semua boleh pakat-pakat turun.
“Kita jangan (turun), sebab kita tidak mahu ada perbalahan terbuka dalam negara sebab bila ada demonstrasi jalanan, mungkin ada orang yang tidak boleh kawal perasaan, boleh timbul huru-hara dalam negara.
“Kita sudah payah bina negara, pemimpin dulu kerja sampai mati nak bangunkan negara, nak jadi Malaysia negara contoh, pemimpin dulu banyak berjasa sebab itu kita hidup dalam negara aman damai. Tapi Ambiga nak rosakkan ini semua,” katanya berucap pada Majlis Bersama Rakyat itu di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Ketua UMNO bahagian, Zawawi Othman.
Menurut Perdana Menteri, matlamat perhimpunan haram itu bukan untuk membersihkan pilihan raya, kerana ternyata Pas boleh memerintah Kelantan lebih 21 tahun dan pembangkang menang di lima negeri pada pilihan raya umum lalu.
Katanya, keadaan itu menunjukkan demokrasi di negara ini adalah lebih baik dan tidak sama seperti di negara Asia Barat seperti Mesir, di mana parti memerintah memenangi 95 peratus kerusi dalam pilihan raya dan memerintah selama 30 tahun.
Justeru, beliau pelik dengan tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang sanggup bersekongkol dengan Ambiga dalam gerakan itu bagi merosakkan keamanan negara.
Ini kerana katanya, Ambiga merupakan orang yang cuba mengganggu-gugat Islam, dan UMNO serta BN mesti menegakkan kebenaran.
“Apa sudah jadi dengan pemimpin Pas,” soalnya sambil mengingatkan rakyat dalang paling besar di sebalik perhimpunan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, beliau yang melihat angin perubahan sedang bertiup di Kelantan, menyatakan janji BN untuk membawa pembangunan ke negeri ini sekiranya rakyat Kelantan memberi mandat kepada parti itu.
sumber utusan malaysia.
komen BMA, PM memang patut dah rasa geram dan marah,
0 comments:
Post a Comment