Terdapat sebahagian umat Islam di negara ini terlalu mudah dikelirukan hingga sanggup mengkafirkan sesama agama yang menjalinkan kerjasama dengan orang bukan Islam apabila pemimpin mereka berpendirian sedemikian.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, mereka begitu fanatik dan akan mengutuk serta mengkafirkan golongan Islam yang menjalinkan kerjasama dengan bukan Islam.
Bagaimanapun katanya, jika pada esoknya pemimpin mereka mengatakan perkara sebaliknya iaitu kerjasama dengan bukan Islam dibenarkan, para penyokong mereka sedia melupakan tuduhan kafir yang dilemparkan sebelum ini.
"Orang Islam seperti ini mudah dikelirukan. Sekiranya pemimpin mereka kata siapa yang menjalinkan kerjasama dengan orang bukan Islam sebagai kafir, maka kafirlah orang Islam berkenaan.
"Namun, apabila pemimpin sama mengatakan boleh bekerjasama dengan orang bukan Islam pada keesokannya, maka mereka akan kata ya, sekali gus melupakan tuduhan kafir kepada pihak satu lagi," katanya.
Mahathir berkata demikian dalam blognya di http://chedet.cc/blog/ hari ini.
Dalam blog itu, beliau turut mengulas mengenai kemunduran dan kemiskinan yang dialami oleh dunia Islam ketika ini dan kegagalan negara-negara tersebut muncul sebagai negara membangun.
"Soalnya sekarang kegagalan ini bukan disebabkan agama. Islam yang dibawa oleh Rasulullah 1,400 tahun lalu telah didatangkan dengan cukup sempurna.
"Namun, selepas zaman Rasulullah, telah berlaku penafsiran tentang agama oleh para sarjana Islam yang tulen serta golongan yang mengaku pakar tetapi sebenarnya penipu.
"Keadaan ini menyebabkan sebahagian daripada penafsiran ini berbeza sama sekali dengan Islam yang sebenar," ujarnya.
Di Malaysia katanya, terdapat pertubuhan al-Arqam dan Ayah Pin yang secara terang kedua-dua fahamannya bertentangan dengan Islam.
"Dua fahaman ini mempunyai pengikut masing-masing. Mereka percaya dengan apa yang dibawa oleh kedua-dua fahaman ini. Dalam dunia Islam yang lain terdapat banyak kumpulan yang serupa dengan al-Arqam dan Ayah Pin," ujarnya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, sudah tiba masanya umat Islam kembali mengamalkan ajaran Islam sebenar dengan menjadikan al-Quran dan hadis sebagai rujukan paling utama supaya negara-negara Islam mampu bangkit seperti negara-negara yang lain.
sumber dari: UTUSAN MALAYSIA.
1 comments:
Banyak org Melayu/Islam terlalu taksub dgn pemimpin mereka ... tapi pemimpin ni sengaja meninggalkan suruhan ALLAH dalam Al-Quran 48:29.
Petikan dari - http://www.alquran-melayu.com/48-al-fat-h/
[29]
Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.
Moga org Melayu/Islam mulakan dgn mengikut suruhan ALLAH ini ... utk masa depan anak dan cucu cicit kita.
Moga ALLAH memberi kita pemimpin yg benar-benar menghayati suruhan Nya dan ajaran Nabi SAW.
Moga ALLAH membuka mata kita supaya tidak mengulangi sejarah buruk umat Islam terdahulu.
Moga ALLAH memberi kita panduan supaya kita benar-benar menjadi - sebaik-baik ummah - utk umat manusia.
AMIN.
Hanya Harapan.
Org Cheras.
Post a Comment