Thursday, April 29, 2010

Shahrizat dukacita insiden remaja ditembak

KUALA LUMPUR, 28 April — Sambil melahirkan rasa dukacita dengan insiden remaja berusia 15 tahun ditembak mati oleh polis, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil  mahu penggunaan senjata api oleh pihak berkuasa atau pemilik persendirian mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar terbabit, berkata penggunaan senjata api oleh mana-mana pihak tidak kira penguatkuasa atau individu mestilah merupakan tindakan terakhir dan pada dasarnya adalah untuk melindungi dan menyelamatkan diri.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam insiden ini, cuma perkara yang paling penting ialah prinsip penggunaan dan penembakan itu mesti jelas dan nyata dan setiap individu sama ada anda sebahagian daripada pegawai penguatkuasa mesti tahu tugas dan tanggungjawab serta amanah yang diberikan.

“Kita mesti menggunakannya dengan penuh tanggungjawab mengikut peraturan yang diperakui dan penggunaan senjata api untuk menembak sesiapapun mestilah menjadi satu tindakan terakhir,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Shahrizat turut meminta pihak berkuasa menentukan sesiapa jua yang diberi lesen atau permit senjata api mesti mengikut prosedur operasi standard kerana amanah dan kuasa yang diberi tidak boleh diambil mudah.
Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden seorang remaja lelaki ditembak mati oleh polis, awal pagi Isnin lepas di Seksyen 11, Shah Alam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Amirulrasyid Amzah meninggal dunia selepas terkena tembakan anggota polis peronda apabila remaja itu dikatakan cuba melarikan diri apabila dikejar polis.

“Kita tidak mahu negara kita menjadi satu negara di mana sesiapa jua merasakan mereka boleh “trigger happy”...sebab risiko dan implikasinya sangat tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, Shahrizat menyambut baik panel yang akan diwujudkan oleh Kementerian Dalam Negeri bagi menyiasat insiden itu dan berharap siasatan dibuat secepat mungkin.

Beliau mencadangkan supaya seorang pegawai kebajikan masyarakat menjadi ahli dalam panel itu bagi membolehkan maklumat mengenai latar belakang mangsa diperoleh. — Bernama

Arab nak kata: serahkan kes ini kepada polis untuk siasatan,

0 comments:

Related Posts with Thumbnails