GEORGETOWN: Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berharap calon dari negeri yang ditadbir pembangkang mendapat sokongan padu dan dipilih menganggotai Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam berkata, dengan itu membolehkan suara dan pandangan mereka yang mewakili rakyat di negeri berkenaan dapat didengar seterusnya mengukuhkan kepercayaan parti di kawasan masing-masing.
"Jika diberi peluang, kedudukan ini boleh dijadikan landasan untuk kita kembalikan semula kegemilangan parti terutama di negeri yang diterajui pembangangkang," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Agensi Antidadah negeri, di sini, hari ini.
Beliau yang mengumumkan akan bertanding jawatan berkenaan dalam pemilihan parti itu Oktober ini bagaimanapun menyerahkan kepada anggota UMNO untuk menentukan sama ada beliau layak mewakili mereka atau tidak.
Ditanya peluang untuk menang kerana tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan, Musa berkata, perkara itu bukan isu besar dan soal terpenting adalah keberanian bersuara serta tampil ke hadapan bagi meneruskan perjuangan parti dengan moto 'Demi Agama, Bangsa dan Negara'.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Pulau Pinang, Siti Rohani Ahmad.
- BERNAMA
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
0 comments:
Post a Comment