IPOH: Anggota polis dan keluarga mereka yang diserang kira-kira 200 anggota komunis di Balai Polis Bukit Kepong dalam tragedi berdarah 23 Februari 1950 tidak syak lagi adalah wira sebenar negara kerana mereka bukan mempertahankan British seperti sangkaan banyak pihak sebaliknya Tanah Melayu yang ketika itu berada di bawah kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar, berkata Tanah Melayu sebenarnya tidak pernah berada di bawah penjajahan British seperti berlaku di India, Sri Lanka dan Hong Kong ketika itu. Sebaliknya mengikut pandangan antarabangsa ketika itu, Tanah Melayu atau Malaya diperintah oleh Raja-Raja Melayu dengan British bertindak sebagai penasihat atau menjalankan tugas-tugas pentadbiran.
Pandangan itu turut disokong tokoh sejarah terkemuka, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Khim dan pakar sejarah yang juga Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Ramlah Adam pada Wacana Merdeka bertajuk Peristiwa Bukit Kepong: Siapa Wira Sebenar anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR) di sini, petang semalam.
Seorang lagi ahli panel dalam wacana yang dipengerusikan Timbalan Dekan Pusat Kajian Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian itu ialah bekas Ketua Cawangan Khas PDRM, Tan Sri Yuen Yuet Leng, yang terbabit secara langsung dalam peperangan terhadap komunis di Perak dan Sarawak.
Kay Khim pula berkata, apa yang berlaku ketika itu ialah British hanya mengadakan perjanjian dengan Raja-Raja Melayu untuk campur tangan dalam pentadbiran dan apabila Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, bukan British yang menyerahkan kedaulatan tetapi Raja-raja Melayu menyerahkan kuasanya kepada rakyat supaya Tanah Melayu dapat mengamalkan demokrasi berparlimen.
Oleh itu, katanya, Ahmad Indera atau Mat Indera yang dikatakan mengetuai serangan komunis di balai polis berkenaan sehingga mengorbankan 25 orang termasuk anggota polis, ahli keluarga mereka serta orang awam, tidak boleh dianggap wira kerana anggota komunis itu menentang kerajaan dan melanggar undang-undang yang diterima pakai majoriti rakyat Tanah Melayu ketika itu.
Orang yang melanggar undang-undang tidak boleh dianggap sebagai wira. Komunis bukan berhasrat untuk membebaskan Tanah Melayu (daripada British) tetapi mahu meneruskan agenda penguasaan fahaman itu di seluruh dunia.
Komunis di China sudah mengarahkan Parti Komunis Malaya (PKM) mempengaruhi orang Melayu tetapi susah sebab budaya tidak sama, tambahan pula orang Melayu patuh kepada Raja, katanya.
Ramlah pula berkata, sejak dulu sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, negara ini tidak pernah dijajah British dan Raja-Raja Melayu tidak kehilangan kuasanya, hanya pembesar Melayu yang kehilangan kuasanya kepada pegawai British, justeru dakwaan mengatakan komunis menyerang anggota polis yang bekerja di bawah kekuasaan British adalah tidak tepat.
Beliau berkata, fakta sejarah juga menunjukkan Mat Indera adalah anggota PKM yang menuruti arahan seorang komander lain dan bukan mengetuai serangan di balai polis itu dan hanya ikan bilis yang tidak layak diletakkan sebaris dengan nama besar tokoh pejuang kemerdekaan lain seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Ahmad Boestamam, Burhanuddin al-Helmy serta tokoh pejuang lain sama ada berhaluan kanan atau kiri.
Ini fakta sejarah yang tidak boleh diubah atau ditokok tambah, cuma intepretasi sejarah saja mungkin berlainan tetapi itu pun memerlukan bukti baru, sumber dan dokumen sahih yang pelbagai dan kajian mendalam, bukan boleh buat sesuka hati saja, katanya.
Yuet Leng pula berkata, beliau akan terus menganggap anggota polis yang terkorban dalam serangan di Bukit Kepong sebagai wira yang hanya tahu mempertahankan kedaulatan negara dan menentang keganasan berbanding PKM yang bercita-cita mewujudkan Republik Tanah Melayu yang menerima arahan daripada komunis antarabangsa bagi menyingkirkan kuasa Raja-Raja Melayu.
sumber dari BERITA HARIAN.