Thursday, February 4, 2010

PAS PANIK MENERIMA CABARAN ZAMBRY


Setelah membaca beberapa blog pemimpin Pas di Perak sehari dua ini, saya dapat rasakan betapa paniknya parti itu apabila Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir mencabar supaya 28 Adun pembangkang di negeri ini mengosongkan kerusi bagi membuktikan parti mereka masih diterima rakyat.

Maka melompatlah mereka dengan menuduh Dr. Zambry sebagai bodoh, angkuh dan sombong kerana mengemukakan cabaran itu. Walhal merekalah sebenarnya bodoh, sombong dan angkuh sama seperti sikap yang ditunjukkan Nizar Jamaluddin, Ngeh Ko Ham, Nga Kor Meng, Sivakumar dan pemimpin seangkatan dengannya.

Sejak berlaku peralihan kuasa di Perak setahun lalu, sikap bodoh, sombong dan angkuh puak-puak ini ditunjukkan dengan amat keterlaluan apabila mempertikaikan titah DYMM Sultan Perak memperkenankan Dr. Zambry menjadi Menteri Besar dan sekaligus memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran Perak.

Maka berkokoklah Nizar, Ngeh, Nga dan lain-lainnya ke seluruh pelosok negeri mengatakan Kerajaan BN Perak ini sebagai kerajaan haram, berlaku rampasan kuasa dan mendesak supaya DUN Perak dibubarkan. Bodoh, sombong dan angkuhnya mereka apabila berkokok berdegar-degar kononnya rakyat Negeri Perak akan memberikan kemenangan lebih besar kepada pakatan DAP-PKR-PAS jika DUN dibubarkan dan pilihanraya diadakan.

Hakikatnya dalam PRU12 lalu rata-rata mengetahui bahawa rakyat masih memberikan mandat kepada BN untuk memerintah Perak, walaupun dengan kemenangan tipis sebanyak 28 kerusi, berbanding 18 kepada DAP, 7 (PKR) dan hanya 6 (PAS). Tetapi atas dasar menjunjung perkenan DYMM Sultan Perak, maka Kerajaan Perak beralih kepada pakatan pembangkang itu yang bergabung dengan menguasai 31 kerusi.

Tetapi apabila proses yang sama berlaku setahun lalu, berikutan tindakan tiga Adun membebaskan diri dari pakatan DAP-PKR-PAS dan menyokong BN, Nizar dan puak-puaknya tidak dapat menerima hakikat lantas melontarkan pelbagai cacian dan penghinaan terhadap perkenan DYMM Sultan Perak itu.

Rakyat Perak telah dapat melihat pelbagai drama yang dipertontonkan oleh Nizar, Ngeh, Nga, Sivakumar dan juak-juak mereka sejak setahun lalu. Bermula dari tindakan mereka memboikot upacara mengangkat sumpah Dr. Zambry sebagai Menteri Besar di hadapan DYMM Sultan Perak di Istana Kinta pada 6 Februari 2009, tunjuk perasaan penyokong menghalang kenderaan rasmi membawa DYTM Raja Muda, sidang DUN di bawah pokok dan hotel, menjadikan sidang DUN Perak seperti sarkas, melarikan jubah dan mencuriguna kepala surat Speaker, menjerit di dalam Parlimen semasa mengangkat sumpah, sehinggalah kepada perbuatan-perbuatan yang tak masuk akal termasuk tindakan Nizar merestui nama negeri digelar Perak Darul Kartun.

Terbaru, Pas dan Nizar mendabik dada pula kononnya kehadiran wakil kedutaan Amerika Syarikat ke pejabat Pas Perak sebagai tanda sokongan terhadap kes rayuannya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Dr. Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari nanti.

Setelah bersungguh-sungguh mendesak supaya DUN Perak dibubarkan bagi menunjukkan pakatan DAP-PKR-PAS masih mampu membentuk kerajaan, tak salah jika Dr. Zambry mencabar kesemua 28 Adun pakatan itu mengosongkan kerusi dan bertanding dalam pilihanraya kecil bagi menguji arus sokongan rakyat di kawasan masing-masing.

Jika tidak berani melakukannya, janganlah lagi menyalak ke seluruh pelosok negeri mendabik dada kononnya pakatan haram mereka itu masih diterima rakyat dan mahu menguji populariti dengan mendesak DUN Perak dibubarkan. Tidak perlulah mengganggu Dr. Zambry daripada melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada beliau untuk mentadbir negeri.

Tidak bolehkah pemimpin PAS yang mendakwa kononnya memperjuangkan Islam itu menunjukkan sifat sabar sehingga PRU13 nanti, atau sekurang-kurangnya menunggu sehinggalah Mahkamah Persekutuan membuat keputusan pada 9 Februari?

Apalah yang nak dibanggakan dengan kenyataan Nizar yang mahu membubarkan DUN Perak jika keputusan mahkamah memihak kepada beliau nanti, sedangkan rakyat amat faham dengan sistem demokrasi di negara ini di mana seorang Menteri Besar tidak akan mampu bertahan lama jika tidak ada sokongan majoriti dalam DUN? Paling lama Nizar hanya boleh bertahan hingga sidang DUN akan datang dan tidak hairanlah jika dia beriya-iya mahu membubarkan DUN jika keputusan mahkamah memihak kepadanya.

Apapun kita serahkan kepada hakim-hakim yang bijaksana untuk membuat keputusan pada 9 Februari nanti. Tak perlulah Nizar dan kuncu-kuncunya cuba hendak memanipulasi keadaan dan membuat reverse psychology kerana tidak mungkin kebijaksanaan hakim-hakim di negara ini termakan dengan tingkahlaku murahan seumpama ini.

Bersabarlah. Masanya pasti akan tiba.

http://khusairitgmalim.blogspot.com/2010/02/pas-panik-menerima-cabaran-zambry.html

0 comments:

Related Posts with Thumbnails