Dalam media sosial ketika ini, isu mengenai harga minyak masak memang hangat diperkatakan. Ramai yang memberikan ulasan walaupun hakikatnya ada antara mereka yang tidak pernah membeli minyak masak pun.
Kalau ditanya kepada mereka mengenai minyak masak dan jenama yang digunakan oleh isteri atau ibu mereka ketika memasak, sudah tentu akan ada yang ternganga mulut, almaklumlah selama ini segala urusan keluarga diuruskan oleh orang lain.
Tetapi itulah realitinya, ramai yang ingin menjadi pakar dalam media sosial dan cuba menjadi juara kononnya merekalah yang paling teruk terjejas. Macam-macam komen berbaur maki hamun dilemparkan kepada kerajaan.
Sebenarnya subsidi adalah impian rakyat tetapi ia merupakan mimpi ngeri bagi kerajaan yang terpaksa menanggung berbilion-bilion ringgit akibat kegiatan penyeludupan.
Meskipun agak pahit, namun langkah yang diambil oleh kerajaan untuk melaksanakan penstrukturan semula subsidi yang menyaksikan harga minyak masak peket satu kilogram kekal RM2.50 manakala minyak masak botol yang lebih besar ditentukan mengikut harga pasaran berkuat kuasa 1 November lalu, adalah tepat.
Kenapa hanya minyak peket 1 kilogram sahaja yang disubsidi? Selain membantu golongan miskin, peket kecil akan menjadi terlalu rumit kepada penyeludup untuk mengangkutnya dalam kuantiti yang banyak tanpa menimbulkan syak wasangka kepada pihak berkuasa.
Justeru kegiatan penyeludupan ini, yang banyak berlaku di utara tanahair dapat dibendung.
Sebenarnya, pengguna mempunyai pilihan. Tidak semua orang menggunakan minyak sawit malah di pasaran terdapat pelbagai jenis minyak termasuk minyak zaitun, minyak jagung, minyak bunga matahari dan minyak kelapa.
Jika selama ini pengguna membeli botol minyak dengan kuantiti 5 kilogram, mereka boleh menggantikannya dengan minyak peket satu kilogram yang disubsidi itu.
Belilah lima peket, jadi kuantitinya tetap 5 kilogram juga, malah ia lebih murah. Kebiasaannya bagi sesebuah keluarga, sebotol minyak seberat 5 kilogram akan bertahan sehingga sebulan, itupun jika anggota keluarga berkenaan rajin memasak.
Hanya mereka yang mempunyai keluarga yang besar akan menggunakan banyak minyak untuk memasak namun dalam keadaan di mana rakyat Malaysia ketika ini lebih mementingkan penjagaan kesihatan dengan menekankan diet yang seimbang, penggunaan minyak masak juga menjadi antara yang diambil kira.
Mungkin ramai yang enggan membeli minyak peket 1 kilogram itu selepas tersebar khabar angin sejak sekian lama bahawa ia adalah minyak kitar semula, namun sebenarnya minyak berkenaan mempunyai kualiti yang sama dengan minyak yang dijual dalam botol plastik di pasaraya.
Ia diakui sendiri oleh Persatuan Pekilang-pekilang Minyak Makan Malaya (Meoma). Tiada bezanya pun dengan minyak masak yang lain, hanya bungkusan yang menjadi perbezaan.
Tulisan :
Beruang Biru
BB116, Rabu
2 November 2016
komen aku : tiga gambar di atas yang mana lebih murah. so kepada pengguna lah untuk membuat pilihan.
jangan dok melalak dalam whatapps dan facebook.