Thursday, September 13, 2012

ANWAR MENGANUT FAHAMAN "ANARKI"

ANARKI dalam bahasa mudahnya ialah keadaan yang tidak tertib, luar daripada kelaziman dan cenderung kepada perubahan tanpa mengikut urutan sejarah dan budaya malah agama. Daripada perspektif Barat ia adalah pancaran faham liberalis dan pluralis.

Kebebasan yang cuba diamalkan oleh faham ini amat melampau. Ia menjerumuskan generasi muda yang jahil tentang perjalanan sejarah dan budaya dalam arah perubahan tanpa arah. Ia bakal merosakkan premis kemasyarakatan dan kenegaraan yang dibina.

Hak asasi yang mereka tuntut tidak dalam acuan kita tetapi lebih banyak mengutip jalur luar yang tidak serasi dengan cita rasa setempat dan agama. Ia bersifat nafsu nafsi tanpa landasan akal dan iman yang kukuh.

Tindakan Anwar Ibrahim berucap di majlis Sambutan Kemerdekaan di Shah Alam dengan menafikan kehadiran Sultan Selangor adalah gambaran faham 'anarki' yang dibawa. Rasa malu dan segan sudah hilang. Sebaliknya ia menimbulkan kemarahan banyak pihak dan Anwar mendukung teori konflik supaya dia mendapat perhatian dan perlakuannya menentang kelaziman mahu dilihat sebagai suatu keberanian.

Hal yang sama berlaku di Dataran Merdeka dalam Himpunan Janji Bersih gambar pemimpin negara dipijak dan dihina dan pengibaran bendera Sang Saka Malaya dikibarkan. Ia jelas suatu tindakan yang 'anarki'.

Anwar tahu apa yang berlaku tetapi tidak membuat komen yang menggambarkan bahasa adab, kesantunan dan kesusilaan.

Sebaliknya Nik Aziz mengeluarkan kenyataan yang lebih beradab mengenai peristiwa itu. Sekali lagi generasi muda diperangkap dengan tindakan di luar batas yang tentunya didorong oleh faham 'anarki'.

Sehingga kini terdapat lebih 450 laporan di balai polis membantah apa yang berlaku. Peristiwa menggantikan Jalur Gemilang dengan Sang Saka Malaya menyebabkan masyarakat sangat marah dan rasa terhina.

Anwar dengan tabiat berpolitiknya mengharapkan dukungan generasi muda. Anwar kena ingat tidak semua generasi muda jahil dan tidak tahu urutan sejarah dan budaya negara. Kalau dengan berbuat cara melampau itu dia mengharapkan dukungan yang lebih ramai ia adalah sesuatu yang meleset.

Bagi kelompok hardcore atau penyokong yang taksub kepada Anwar jumlahnya tidak besar. Kelompok ini ibarat direndam tak basah dan dibakar tak hangus akan tetap mendukung Anwar baik atau buruk.

Tetapi Anwar kena ingat masyarakat bukan hardcore terus memerhati gelagat beliau. Golongan simpatisen dan atas pagar yang jumlah jauh lebih besar akan berfikir dua kali selepas peristiwa itu.

Peristiwa di Selangor memberi pertunjuk mengenai kecenderungannya membangun sebuah negara Republik. Mencetuskan penghinaan kepada institusi Raja dan menghina Jalur Gemilang simbolik kesetiaan rakyat kepada negara, menghina gambar pemimpin bukanlah suatu cara yang baik untuk menjadi teladan orang-orang muda.

Anwar semasa memimpin ABIM mendidik ahlinya tentang pentingnya adab. Tema ucapannya selalu mementingkan kefahaman terhadap nilai-nilai baik dalam tradisi orang Melayu dan kemurniaan adab yang dianjurkan oleh Islam.

Anwar semasa terlibat dalam UMNO juga pada umumnya mempunyai sifat yang lazimnya boleh diterima oleh masyarakat. Tetapi sekarang ini cita-citanya untuk ke Putrajaya mengambil alih kuasa dan ingin menjadi Perdana Menteri terlalu tinggi menyebabkan Anwar kehilangan arah dan pedoman.

Apa saja yang dilakukan mengundang kontroversi. Baginya lebih banyak kontroversi yang dilakukan lagi baik kerana anggapannya ia boleh mengundang perhatian dan sokongan. Tanggapan ini adalah tidak benar. Lebih banyak kontroversi di luar adab dan tertib kenegaraan, lebih banyak pula penentangan terhadap beliau dan gerak kerja politik yang dibawanya.

Anwar kena faham tidak semua orang boleh diperbodohkan dalam setiap masa dan sebahagian besar masyarakat Malaysia adalah orang yang memerhati gelagat pemimpin.

Kalau gelagat pemimpin ingin menyemai sifat biadab dan kurang ajar kepada sejarah dan perjalanan budaya ia akan ditolak. Kalau pemimpin ingin menukar negara ini kepada republik ia tidak semudah retorik.

Apakah ini petanda kebesaran Allah yang sedang ditunjukkan bahawa gelagat yang sedang dipaparkan menimbulkan kemarahan dan kebencian ramai orang dan ia tidak baik bagi sokongan politik khalayak.

Anwar orang politik. Sekiranya ia lari daripada kelaziman amalan yang bercanggah dengan adab dan ketertiban yang selama ini beliau dukung dalam ABIM, ia memberi petanda buruk terhadap hari depannya.

Anwar mungkin boleh bercita-cita untuk ke Putrajaya dan melakukan gerak kerja politik yang menongkah arus tetapi Anwar kena faham segala-gala itu tertakluk kepada ketentuan Allah. Allah Maha Mengetahui niat seseorang itu. Moga-moga Allah melindungi Malaysia menghadapi bencana politik yang merugikan umat.

Dari jendela tok ki.

Anwar sememangnya suka menentang arus, ini lah politik dia sejak dahulu lagi, kononnya mahu buat perubahan mengajak golongan muda bersamanya,sehingga kalau boleh mahu menghapuskan sejarah dan adab tanpa arah.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails