Sebagai pemimpin dan rakyat semestinya saranan serta arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan wabak Covid-19 perlu kita patuhi.
Saya percaya bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan menyeluruh pihak kerajaan dan pastinya ia melibatkan banyak pihak serta Kementerian yang punya keupayaan dalam mengenal pasti kesan daripada keputusan yang dibuat.
Apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini sebenarnya mencakupi semua perkara, antara perkara paling penting yang diberikan perhatian khusus oleh kerajaan adalah soal kesihatan dan keselamatan rakyat, kerana itu Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Tidak ada gunanya negara hebat dalam soal ekonomi tetapi dalam masa yang sama rakyat menderita kerana penularan wabak yang boleh membawa maut.
Apabila rakyat mula menderita, kerajaan sedia ada pun pastinya akan pincang malah mungkin akan dijadikan sasaran oleh banyak pihak kerana tidak melaksanakan langkah-langkah yang perlu pada ketika wabak Covid-19 masih boleh dibendung.
Saya faham ada di antara rakyat yang terkesan secara langsung akibat arahan Perintah Kawalan Pergerakan ini, hilang punca pendapatan malah ada kalangan pekerja yang terpaksa menghadapi hari sukar kerana perlu bercuti tanpa gaji atau dibayar separuh gaji termasuklah para peniaga dan penjaja yang kini terpaksa menutup perniagaan masing-masing.
Atas kesedaran itu, saya melihat kerajaan tampil dengan pelbagai bentuk bantuan melibatkan semua pihak daripada isi rumah sehinggalah kepada para peniaga dan penjaja.
Bantuan Prihatin Nasional serta Bantuan i-Lestari melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pakej Ransangan Ekonomi sempena Perintah Kawalan Pergerakan ini adalah tindakan yang tepat bukan sahaja untuk kesejahteraan rakyat tetapi juga bagi meransang ekonomi lokal melibatkan pengguna dan pengeluar.
Langkah berhati-hati dan berperingkat juga sedang dilaksanakan oleh kerajaan contohnya membenarkan kumpulan yang terlibat dalam sektor perniagaan seperti kedai baja dan racun, kedai makanan haiwan, kedai ‘hardware’ dan kedai alat ganti kenderaan beroperasi pada setiap hari Isnin dan Khamis pada tempoh waktu 8.00 pagi sehingga 4.00 petang.
Saya percaya langkah-langkah ini adalah permulaan kepada langkah yang lebih baik dan bersifat rakyat didahulukan.
Walaupun pandangan daripada Penasihat Khas Pelaburan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lee Kah Choon yang menggesa supaya kerajaan membenarkan para pekerja kembali bekerja dalam tempoh waktu yang singkat ini dilihat sebagai salah satu keperluan, saya merasakan bahawa ianya mestilah berpandukan kepada sejauh mana keadaan wabak Covid-19.
Jangan kita ambil mudah dalam keadaan kritikal sebegini kerana satu kesilapan mudah akan menyebabkan seluruh rakyat menerima kesannya. Jangan sesekali lupa kejadian penularan wabak Covid-19 yang merebak di negara-negara lain sehingga menyebabkan angka kematian mencecah puluhan ribu hanya kerana kerajaan tidak mengambil langkah-langkah yang agresif.
Kepada semua pihak, saya mohon bersabar dan sama-samalah kita hadapi keadaan ini dengan langkah-langkah yang sewajarnya, turuti saranan kerajaan dan yakinlah kerajaan tidak akan menzalimi rakyatnya sebaliknya sedang berusaha untuk menyelamatkan semua kita.
YB Dato’ Muhamad Yusoff Bin Mohd Noor
Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang
0 comments:
Post a Comment