Mungkin sudah sedia maklum tentang kewujudan satu lagi perkataan al-Qur'an yang dipakai umat dengan agak berbeza daripada maksud asal. Perkataan yang dimaksudkan ialah khalifah, yang sama dalam sebutan baik dalam al-Qur'an mahupun bahasa Melayu. Kamus Dewan memberi makna kepada perkataan tersebut seperti berikut:
khalifah Ar
1. pengganti (kepada Nabi Muhammad s.a.w), (gelaran) ketua agama dan raja di negara Islam; Sayidina Abu Bakar menjadi ~ yang pertama selepas wafat Nabi Muhammad s.a.w.
2. = ~ dabus ketua (pemimpin) permainan dabus; ahli leka berdikir, ~ leka berdabus, pendekar leka memencak
3. ketua murid.
Perbezaan yang diisyaratkan dapat diintai ketika memandang kepada ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi perkataan tersebut. Lantaran itu, dipaparkan di bawah ini ayat pertama mengandungi perkataan khalifah, dan akan mendapati walaupun maknanya sama, iaitu pengganti, tetapi tidak dipakai seperti dinyatakan di atas. Ayat berkenaan berbunyi,
"Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, 'Aku akan meletakkan di bumi khalifah (pengganti).' Mereka berkata, 'Adakah Engkau meletakkan di dalamnya orang yang akan membuat kerosakan di dalamnya dan menumpahkan darah, sedang kami menyanjung dengan memuji-Mu dan memanggil Engkau Suci?' Dia berkata, 'Sesungguhnya Aku tahu apa yang kamu tidak tahu.'" (2:30)
Tuhan memberitahu para malaikat bahawa Dia akan meletakkan makhluk manusia di bumi, sebagai pengganti bagi, mungkin, suatu makhluk lain. Makhluk manusia yang mengganti itu diketahui pula oleh para malaikat sebagai bersifat jahat, dengan membuat kerosakan dan menumpahkan darah di bumi. Namun, ada lagi mengenai manusia yang mereka tidak tahu.
Antara perkara yang tidak diketahui para malaikat mungkin terselit pada ayat kedua yang mengandungi perkataan bersabit, iaitu tentang diadakan darjat-darjat yang berlainan di kalangan manusia setelah dilantik sebagai khalifah dibumi. Ayat yang dinyatakan berbunyi,
"Dia yang melantik kamu khalifah-khalifah (pengganti-pengganti) di bumi, dan menaikkan sebahagian kamu dalam darjat di atas sebahagian yang lain, supaya Dia menguji kamu pada apa yang Dia memberikan kamu. Sesungguhnya, Pemelihara kamu cepat dalam pembalasan sewajarnya; dan sesungguhnya Dia Pengampun, Pengasih." (6:165)
Ayat menyedarkan tentang adanya darjat-darjat di kalangan khalifah, iaitu golongan manusia, dalam kehidupan masyarakt, atau sosial, di mana terdapat kedudukan yang tinggi dan kedudukan rendah, yang selanjutnya menjadi ujian Allah atas pembahagian-Nya.
Ayat ketiga membawa kepada zaman lampau, kepada kaum Ad (Nabi Hud), yang dijadikan Allah khalifah selepas kaum Nabi Nuh. Antara yang diucap oleh baginda kepada kaumnya adalah:
"Apa, adakah kamu hairan bahawa satu peringatan daripada Pemelihara kamu telah datang kepada kamu melalui seorang lelaki antara kamu supaya dia memberi amaran kepada kamu; dan ingatlah apabila Dia melantik kamu sebagai pengganti selepas kaum Nuh, dan menambahkan kamu dengan luas dalam ciptaan kamu; ingatlah kamu akan pemberian Allah agar kamu beruntung." (7:69)
Berita itu dapat dipanjangkan lagi dengan membaca ayat-ayat mulai dari empat ayat sebelum petikan di atas, iaitu ayat 7:65 yang berbunyi "Dan kepada Ad, saudara mereka Hud. Dia berkata, 'Wahai kaumku, sembahlah Allah! Kamu tidak ada tuhan selain daripada Dia; tidakkah kamu bertakwa?" Ayat 7:66 dan seterusnya hingga ke ayat 7:72 dapat dibaca di sini.
Selepas Ad, kaum Tsamud (Nabi Salleh) pula dipilih sebagai khalifah. Seperti Hud, Salleh juga telah berucap kepada kaumnya, dan dalam ucapan mereka berdua kalimat khalifah telah disebut. Antara ucapan Nabi Salleh terkandung di dalam ayat keempat, seperti berikut:
"Dan ingatlah apabila Dia melantik kamu pengganti-pengganti selepas Ad, dan Dia menempatkan kamu di bumi, mengambil untuk kamu istana-istana daripada tanah-tanah datarnya, dan memahat gunung-gunungnya menjadi rumah-rumah. Ingatlah akan pemberian Allah, dan janganlah membuat kecelakaan di bumi dengan membuat kerosakan." (7:74)
Cerita sepenuhnya boleh dibaca mulai ayat 7:73 (ayat sebelum di atas) berbunyi, "Dan kepada Tsamud, saudara mereka Salleh. Dia berkata, 'Wahai kaumku, sembahlah Allah! Kamu tidak ada tuhan selain daripada Dia; sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bukti yang jelas daripada Pemelihara kamu. Ini ialah unta betina Allah untuk menjadi satu ayat bagi kamu. Tinggalkanlah ia, supaya ia boleh makan di bumi Allah, dan jangan menyentuhnya dengan kejahatan supaya kamu tidak diambil oleh azab yang pedih." Sila baca hingga ayat 7:79.
Ayat kelima, daripada sembilan, membawa pula kepada zaman Nabi terakhir dan al-Qur'an, terus hingga ke manusia hari ini, yang menjadi pengganti generasi sebelum, yang telah dimusnahkan, seperti Ad dan Tsamud. Ayat itu dan konteksnya berbunyi,
10:13. Kami memusnahkan generasi-generasi yang sebelum kamu apabila mereka membuat kezaliman, dan rasul-rasul mereka telah datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang jelas, tetapi mereka tidak mahu mempercayai; maka Kami membalas kaum yang berdosa.
10:14. Kemudian Kami melantik kamu khalifah-khalifah (pengganti-pengganti) di bumi selepas mereka supaya Kami memerhatikan bagaimana kamu akan buat.
10:15. Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, orang-orang yang tidak mengharapkan untuk bertemu dengan Kami berkata, "Datangkanlah al-Qur'an selain yang ini, atau tukarkanlah ia." Katakanlah, "Tidak patut bagiku untuk menukarkannya dengan kemahuan diriku sendiri. Aku tidak mengikuti apa-apa, melainkan apa yang diwahyukan kepadaku. Sesungguhnya aku takut, jika aku mengingkari Pemeliharaku, akan azab hari yang besar."
Disebut lagi tujuan melantik khalifah - memerhatikan apa yang manusia buat - termasuk kita semua pada hari ini. Adakah kita akan meminta supaya diadakan al-Qur'an yang selain daripada yang telah diturunkan, seperti mereka itu buat? Atau mendustakan ayat-ayat-Nya laksana dilakukan oleh kaum Hud dan Salleh? Mungkin itu termasuk perkara-perkara yang diperhatikan Allah.
Ayat keenam membawa balik kepada zaman lampau, kepada zaman sebelum kaum Ad lagi, iaitu zaman Nabi Nuh dan kaumnya. Kaumnya yang mendustakan ayat-ayat Tuhan telah ditenggelamkan, dan orang-orang yang bersama Nuh telah dilantik sebagai khalifah, pengganti, di bumi. Firman-Nya,
"Tetapi mereka mendustakannya; maka Kami menyelamatkan dia dan orang-orang yang bersama dia di dalam kapal, dan Kami melantik mereka sebagai pengganti-pengganti, dan Kami menenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami; kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahannya orang-orang yang diberi amaran." (10:73)
Ayat ketujuh mengalih perhatian kepada kita semua, sebagai khalifah. Setelah menyahut seruan kita supaya dihilangkan kejahatan yang menimpa, Dia bertanya, "Adakah tuhan selain Allah?" Atau dengan maksud lain, "Adakah kitab selain al-Qur'an?" Firman-Nya,
"Atau, siapakah yang menyahut orang yang dalam kesulitan apabila dia berseru kepada-Nya, dan menghilangkan kejahatan, dan melantik kamu untuk menjadi pengganti-pengganti (khalifah) di bumi? Adakah tuhan selain Allah? Amat sedikit kamu mengingati." (27:62)
Selepas itu, kelihatan seperti Dia berkata lagi kepada kita semua, dengan peringatan supaya jangan tidak percaya kepada-Nya, atau ayat-ayat-Nya, kerana tindakan itu hanya mendatangkan kerugian. Firman-Nya,
"Dia yang melantik kamu khalifah-khalifah (pengganti-pengganti) di bumi. Maka sesiapa yang tidak percaya, atasnyalah ketidakpercayaannya; ketidakpercayaan mereka menambahkan orang-orang yang tidak percaya hanya dalam kebencian di sisi Pemelihara mereka; ketidakpercayaan mereka menambahkan bagi orang-orang yang tidak percaya hanya dalam kerugian." (35:39)
Sampai kepada ayat terakhir yang mengandungi kalimat khalifah, iaitu yang kesembilan. Ayat mengisahkan Nabi Daud yang telah dilantik Allah menjadi khalifah, atau pengganti, dan firman Allah kepadanya dalam perlantikan itu berbunyi,
"Wahai Daud, sesungguhnya Kami melantik kamu khalifah (pengganti) di bumi; maka hakimkanlah antara manusia dengan adil, dan janganlah mengikuti keinginan supaya ia tidak menyesatkan kamu daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat daripada jalan Allah, bagi mereka, azab yang keras kerana mereka melupakan Hari Perhitungan." (38:26)
Boleh jadi tidak salah jika bertanya, siapakah yang diganti Daud? Untuk menjawab soalan, dan ceritanya agak panjang hingga kepada baginda menjadi raja, diturunkan ayat-ayat berikut daripada halaman lain:
2:246. Tidakkah kamu merenungkan pembesar-pembesar Bani Israil selepas Musa ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka, "Bangkitkanlah untuk kami seorang raja dan kami akan berperang di jalan Allah." Dia berkata, "Mungkin sekali, bahawa jika perang dituliskan (ditetapkan) bagi kamu, kamu tidak akan berperang?" Mereka berkata, "Mengapa kami tidak mahu berperang di jalan Allah, yang telah diusir daripada tempat tinggal kami, dan anak-anak kami?" Maka, apabila perang ditetapkan kepada mereka, mereka berpaling, kecuali sedikit antara mereka; dan Allah mengetahui orang-orang yang zalim.
2:247. Kemudian Nabi mereka berkata kepada mereka, "Sesungguhnya Allah membangkitkan Thalut bagi kamu sebagai raja." Mereka berkata, "Bagaimanakah patut bagi dia menjadi raja kepada kami, yang lebih berhak daripadanya pada kerajaan, memandangkan dia tidak diberi harta yang banyak?" Dia berkata, "Sesungguhnya Allah memilihnya di atas kamu, dan menambahkannya dengan luas dalam pengetahuan dan tubuh. Allah memberi kerajaan kepada siapa yang Dia mengkehendaki; dan Allah Merangkumi, Mengetahui."
2:248. Dan Nabi mereka berkata kepada mereka, "Ayat (tanda) kerajaannya ialah bahawa tabut (peti) akan datang kepada kamu, di dalamnya suatu ketenangan daripada Pemelihara kamu, dan satu sisa daripada apa yang keluarga Musa dan keluarga Harun meninggalkan yang dibawa oleh malaikat-malaikat. Sungguh, pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kamu, jika kamu orang-orang mukmin."
2:249. Dan apabila Thalut berangkat dengan tentera, dia berkata, "Allah menguji kamu dengan sebuah sungai; sesiapa minum daripadanya adalah bukan daripada aku, dan sesiapa yang tidak merasainya, dia adalah daripada aku, kecuali orang yang menceduk seceduk dengan tangannya." Tetapi mereka meminum daripadanya, kecuali sedikit antara mereka; dan apabila dia menyeberanginya, dan orang-orang yang percaya bersamanya, mereka berkata, "Kami tidak ada kekuatan pada hari ini terhadap Jalut dan tenteranya." Berkata orang-orang yang menyangka bahawa mereka akan menemui Allah, "Berapa kalikah satu golongan yang sedikit telah mengalahkan satu golongan yang banyak, dengan izin Allah? Dan Allah berserta orang-orang yang sabar."
2:250. Maka, apabila mereka pergi kepada Jalut dan tenteranya, mereka berkata, "Wahai Pemelihara kami, tuangkanlah kepada kami kesabaran, dan teguhkanlah kaki kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang tidak percaya (kafir)."
2:251. Dan mereka mengalahkan mereka, dengan izin Allah, dan Daud membunuh Jalut; dan Allah memberinya kerajaan dan kebijaksanaan, dan Dia mengajarnya apa yang Dia mengkehendaki. Sekiranya Allah tidak mengusir manusia, sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain, tentu rosaklah bumi, tetapi Allah mempunyai pemberian kepada semua alam.
Mungkinkah Nabi Daud telah mengganti seorang Nabi yang tidak disebut nama, atau Thalut sebagai raja? Atau kedua-duanya sekali? Dan Allah telah juga memberinya kebijaksaan dan mengajar baginda apa yang Dia mengkehendaki.
Sedikit tentang perktaan kerajaan yang telah disebut. Ia adalah mulk dalam bahasa al-Qur'an, atau kingship, yang seakar dengan kalimat malik atau raja dalam bahasa Melayu.
Cerita Daud memberangsakan, kerana ditinggikan Allah darjatnya hingga menjadi raja, dan menurut sejarah, empayarnya luas. Demikian contoh pemberian Allah yang baik kepada khalifah atau pengganti yang dilantik-Nya.
"Dan kesejahteraan ke atas para utusan," (37:181).
Hanya satu daripada sembilan ayat mengandungi khalifah yang kelihatan memenuhi sedikit erti menurut kamus. Ayat tersebut menyebut hanya Daud seorang sahaja dilantik sebagai pengganti. Yang lain disebut sebagai golongan manusia, seperti kaum dan generasi. Pun begitu, baginda bukan pengganti Nabi Muhammad, dan khalifah bukan gelaran yang dipakai sebagai seorang raja (malik). Didapati pula segolongan manusia pada hari ini memanggil baginda dengan penghormatan berbunyi King David.
Cerita yang panjang mengenai khalifah hampir melupakan pokok perbincangan di sini. Akan tetapi, adalah dirasakan tidak perlu dipanjangkan lagi perbincangan mengenai perbezaan pada maksud kalimat khalifah daripada al-Qur'an dengan maksud difahamkan umum, terutama orang Islam. Yang penting ialah mengetahui maksudnya menurut dikehendaki Allah.
Allah disanjung!
0 comments:
Post a Comment