Monday, August 24, 2009

BUDAYA SUCI DALAM MASYARAKAT MELAYU.

(Siapa sebenarnya orang sesat)

GEJALA menganggap orang Islam lain sebagai sesat atau tidak Islam sudah nampak dalam masyarakat Melayu di negara ini. Sikap yang merosakkan agama dan bangsa ini diamal dari peringkat dewasa hingga kepada peringkat umur kanak-kanak sekolah rendah. Golongan berkenaan akan menganggap sesiapa sahaja tidak betul asal saja orang itu tidak menuruti fahaman agama mereka, seperti cara mereka berpakaian, atau sesuatu hukum agama yang mereka adakan. Lalu amalan mengejek, dan keangkuhan tanpa patut, tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat Melayu.

Namun, wabak ini mudah ditangani kerana dalam agama Islam yang suci terdapat sebuah Kitab daripada Allah yang menunjukkan dengan jelas apa yang benar dan apa yang palsu. Kitab ini dinamakan-Nya al-Furqan atau Pembeza di samping nama agungnya, al-Quran. Firman-Nya,

"Bulan Ramadan yang padanya al-Quran diturunkan untuk menjadi satu petunjuk bagi manusia, dan sebagai bukti-bukti yang jelas daripada Petunjuk itu, dan Pembeza" (2:185).

Dengan merujuk kepada al-Quran didapati bahawa keadaan sesat adalah yang paling buruk boleh berlaku kepada diri seseorang sehingga Allah menyebut mengenainya di halaman pertama Kitab itu. Sebutan pertama perkataan "sesat" di dalam al-Quran terdapat dalam sebuah ayat yang kelihatan seperti sebuah doa untuk memohon kepada Allah supaya tidak menjadi sesat. Ayat itu berbunyi,

"Tunjukkanlah kami jalan lurus, jalan orang-orang yang Engkau merahmati, bukan orang-orang yang ke atas mereka dimurkai, dan bukan juga orang-orang yang sesat" (al-Fatihah, 6-7).

Menurut kamus, sesat bererti tidak mengikuti jalan yang betul, atau tersalah (tersilap) jalan, sementara lawan bagi perkataan itu, menurut al-Quran pula, ialah petunjuk daripada Allah. Dari itu, orang yang tidak mengikuti jalan yang ditunjukkan Allah adalah sesat. Ini dijelaskan lagi dengan sebuah ayat yang berbunyi,

"Jika Pemeliharaku tidak memberi petunjuk kepada aku, tentu aku menjadi daripada kaum yang sesat" (6:77).

Manusia dari awal lagi, sejak zaman Adam, telah diperingatkan Allah supaya mengikuti petunjuk-Nya. Ketika dia dan isterinya diperintah keluar dari Jannah, Allah berfirman,

"Turunlah kamu, kedua-dua kamu bersama-sama, keluar darinya ..... tetapi jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku, maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, tidak akan sesat, dan tidak juga dia menjadi sengsara" (20:123).

Dewasa ini petunjuk Allah berada di dalam al-Quran. Nabi sendiri telah mendapat petunjuk daripadanya. Sabda Nabi, "Dan untuk (aku) membaca al-Quran. Maka sesiapa mendapat petunjuk, hanyalah mendapat petunjuk bagi dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat, katakanlah, 'Aku hanya seorang pemberi amaran'" (al-Quran, 27:92).

Segala petunjuk daripada Allah dipermudahkan untuk manusia. Ia diturunkan dalam bahasa kaum manusia itu sendiri hanya supaya ia menjadi jelas. Setelah dijelaskan-Nya, Dia menyesatkan orang yang patut disesatkan. Firman-Nya,

"Dan Kami tidak mengutus seseorang rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia memperjelaskan kepada mereka; kemudian Allah menyesatkan sesiapa yang Dia mengkehendaki, dan Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki; dan Dia Yang Perkasa, Yang Bijaksana" (14:4).

Bahasa Rasul kita dan kaumnya adalah Arab yang didapati mudah diterjemahkan. Allah sendiri telah menyatakan bahawa bahasa Arab al-Quran adalah jelas. Oleh yang demikian, pada hari ini, petunjuk-Nya (al-Quran) telah diterjemahkan ke dalam lebih daripada seratus bahasa di dunia.

Maka petunjuk-Nya sudah menjadi jelas kepada semua manusia. Sesatlah orang yang tidak mengikutinya. Seperti itu juga dengan orang yang ragu-ragu terhadap kandungan al-Quran, yang turut sesat. Firman-Nya,

"Mereka adalah dalam keadaan ragu-ragu di antara yang demikian, tidak kepada ini dan tidak kepada itu; dan sesiapa yang Allah sesatkan, kamu tidak akan mendapati baginya jalan" (4:143).

Bukan sahaja kandungan Kitab itu tidak seharusnya diragu-raukan tetapi pegangan kepadanya hendaklah secara total. Ia tidak boleh diambil hanya sebahagian daripadanya sahaja. Itulah ketetapan Allah yang tersirat di dalam sebuah ayat berbunyi,

"Tidakkah kamu merenungkan orang-orang yang diberi sebahagian al-Kitab membeli kesesatan dan menghendaki bahawa kamu juga sesat daripada jalan?" (4:44).

Justeru itu, orang yang mengambil sebahagian daripada Kitab (atau, itulah sahaja yang diberi Allah kepadanya) adalah bukan sahaja silap dan sesat tetapi juga berbahaya kepada masyarakat kerana mereka berkehendakkan masyarakat turut sesat bersama mereka. Mereka ini mudah dicam kerana ajaran mereka hanya mengandungi beberapa potong ayat daripada al-Quran lalu menyatakan itulah asas dalam kepercayaan Islam, tetapi banyak sekali merujuk kepada sumber yang selain daripada al-Quran untuk menetapkan peraturan dan hukum agama.

Mendustakan Kitab adalah penyebab menjadi sesat yang seterusnya. Firman-Nya, "Jika dia di antara orang-orang yang mendustakan, dan menjadi sesat, maka sajiannya (di neraka) daripada air yang mendidih" (56:92). Mendustakan bererti menganggap dusta (tidak benar, bohong). Lantas, orang yang menganggap al-Quran tidak benar akan tidak mengendahkan kandungannya juga.

Di samping mendustakan, perbuatan membantah ayat-ayat Allah turut disebut di dalam sebuah ayat al-Quran yang lain. Allah menyifatkan perbuatan-perbuatan ini sebagai menyekutukan-Nya (40:69-74). Ini ialah kerana orang yang mendustakan al-Quran, atau membantah ayat-ayat Allah, tentu akan mengambil, sebagai ikutan dalam agama, kitab-kitab yang selain daripada kitab Allah. Dengan cara tidak langsung ikutan mereka diangkat menjadi seperti tuhan dalam agama, atau sebagai sekutu Allah.

Selain daripada menyifatkan sesuatu perbuatan itu sebagai (hanya) sesat, Allah didapati mengkategorikan amalan sesat kepada empat kategori lagi. Pertama ialah "kesesatan yang nyata". Antara yang tergolong dalam kategori ini adalah orang zalim (19:38). Turut dianggap zalim adalah orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah. Firman-Nya,

"Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah, atau mendustakan ayat-ayat-Nya?" (7:37).

Gejala mengada-adakan dusta terhadap Allah ketara kerana sokongan dan penerimaan orang Melayu yang leka. Contoh pendustaan ialah apa yang dikatakan sebuah firman Allah yang kononnya menyatakan bahawa para ulama itu pewaris Nabi, atau janji masuk syurga Allah sekiranya memilih sesebuah parti politik. Atau, pihak yang menganjur pendustaan, yang selalunya dianggap alim, akan menyelitkan kalimat "Allahu Akbar", "Islam" atau "Rasul" dalam dakyah mereka.

Memang benar Allah dan Rasul tidak seharusnya diingkari. Akan tetapi Allah dan Rasul didapati satu dalam perintah. Apa kata Allah di dalam al-Quran itulah kata Rasul. Orang yang mengingkari Allah dan Rasul adalah nyata sesat. Firman-Nya,

"Tidaklah patut bagi lelaki mukmin, dan tidak juga perempuan mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menentukan SATU perkara, akan ada bagi mereka pilihan dalam perkara itu. Sesiapa mengingkari Allah dan Rasul-Nya telah sesat dalam kesesatan yang nyata" (33:36).

Sebaliknya pula, orang yang membezakan antara Allah dan Rasul, seperti dalam ajaran dan hukum agama, adalah orang kafir yang sebenarnya menurut petunjuk Allah berbunyi

"Orang-orang yang tidak percaya kepada Allah, dan rasul-rasul-Nya, dan menghendaki untuk membuat perbezaan antara Allah dan rasul-rasul-Nya ..... Mereka itulah orang-orang yang tidak percaya (kafir) yang sebenarnya; dan Kami menyediakan bagi orang-orang yang tidak percaya, azab yang hina" (4:150-151).

Golongan selanjutnya dalam kategori kesesatan yang nyata ialah orang yang tidak menyahut penyeru kepada Allah. Firman-Nya, "Sesiapa yang tidak menyahut penyeru kepada Allah, tidak dapat mengandaskan Allah di bumi, dan dia tidak ada wali (pelindung) selain daripada-Nya; mereka itu adalah dalam kesesatan yang nyata" (46:32).

Orang-orang yang menyeru umat supaya kembali kepada Allah (dengan berpegang kepada al-Quran) memang wujud dari semasa ke semasa, kerana limpah rahmat-Nya, supaya di akhirat kelak manusia tidak ada alasan untuk tidak mengikuti petunjuk-Nya. Akan tetapi penyeru itu lazimnya tidak disenangi oleh sebahagian besar masyarakat. Mereka diejek dan dibuat persamaan yang buruk (17:48), dan mereka sering digelar sesat (83:32).

Keadaan seperti ini berlaku dalam masyarakat Melayu pada hari ini. Ajakan untuk kembali kepada al-Quran ditentang, dan penentangan dikepalai oleh para ulama palsu. Mereka memberi pelbagai ejekan kepada golongan yang berpegang kepada ajaran al-Quran seperti Zionist, orientalis, anti-Islam, murtad atau sesat. Kerajaan dan media tempatan pula didapati terlalu berhati-hati untuk mendedahkan hujjah mereka atas beberapa sebab termasuk kepentingan bagi perpaduan dan keharmonian bangsa.

Kategori kedua ialah "kesesatan yang jauh" yang antara tergolong di dalamnya adalah orang yang tidak percaya kepada lima perkara yang menjadi teras bagi keimanan seseorang muslim. Firman-Nya,

"Sesiapa yang tidak percaya kepada Allah, dan malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-Kitab-Nya, dan Rasul-Rasul-Nya, dan Hari Akhir, sesungguhnya dia sesat dalam kesesatan yang jauh" (4:136).

Menyentuh mengenai perkara yang keenam iaitu qada dan qadar. Ia hanya merupakan suatu tambahan yang dibuat oleh orang zaman dahulu. Pengertiannya pula didapati berlawanan dengan ajaran Allah berbunyi,

"Apa sahaja yang baik menimpa kamu, ia adalah daripada Allah; apa sahaja keburukan yang menimpa kamu adalah daripada diri kamu sendiri" (4:79).

Orang yang sesatnya jauh adalah juga yang tidak percaya dan menghalangi orang lain daripada jalan Allah. Firman-Nya "Sesungguhnya orang-orang yang tidak percaya dan menghalangi daripada jalan Allah, mereka sesat dalam kesesatan yang jauh" (4:167). Mungkin orang yang menghalangi itu nampak seperti orang alim, tetapi tidak mempercayai, dan mengajak umat kepada jalan yang dicipta oleh orang zaman dahulu yang diterimanya sebagai alim, warak atau suci.

Masyarakat juga boleh dihalangi dengan cara ditakut-takutkan kepada manusia lain. Firman-Nya "Bukankah Allah mencukupi bagi hamba-Nya, walaupun mereka menakut-nakutkan kamu dengan orang-orang selain daripada Allah?" (39:36). Sesetengah orang Melayu memang takut kepada manusia lain yang dipercayai mempunyai kuasa yang luar biasa atau sesuatu ilmu yang dikatakan tinggi. Firman-Nya:

"Maka janganlah kamu takut kepada manusia, tetapi kamu takutilah Aku" (5:44).

Kategori ketiga adalah golongan yang sesatnya "lebih jauh". Firman-Nya, "Kami menciptakan untuk Jahanam banyak jin dan manusia; mereka mempunyai hati, tetapi tidak memahami dengannya; mereka mempunyai mata, tetapi tidak melihat dengannya; mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mendengar dengannya. Mereka adalah seperti binatang ternak; tidak, tetapi mereka lebih jauh sesat. Mereka itu, merekalah orang-orang yang lalai" (7:179).

Orang-orang yang dikatakan lalai adalah mereka yang tidak mahu memahami, melihat dan mendengarkan petunjuk daripada al-Quran. Jangan sangka perkara ini tidak mungkin berlaku kepada orang yang kelihatan seperti suci atau menganggap diri mereka lebih suci daripada orang lain.

Kategori yang keempat dan terakhir ialah golongan orang yang sesatnya disifatkan Allah sebagai "paling sesat". Terdapat tiga ayat mengenainya, yang turut menunjukkan kepada tiga golongan manusia. Ketiga-tiga ayat tersebut bermula dengan pertanyaan Allah yang berbunyi serupa iaitu "Siapakah yang lebih sesat?" Dari itu, tiadalah yang lebih sesat daripada tiga golongan itu.

Golongan pertama ialah orang yang mengikuti keinginannya atau kehendaknya dengan tanpa petunjuk daripada Allah. Ini dijelaskan dengan sebuah ayat berbunyi "Siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti keinginannya tanpa petunjuk daripada Allah?" (28:50).

Orang yang mengikuti keinginannya didapati mengamalkan pelbagai amalan sesat yang lain, seperti berlebih-lebihan dalam agama. Firman-Nya,

"Katakanlah, 'Wahai ahli Kitab, janganlah berlebih-lebihan dalam agama kamu, selain daripada yang benar, dan janganlah mengikuti keinginan kaum yang telah sesat sebelumnya, dan menyesatkan ramai, dan sesat lagi daripada jalan yang betul'" (5:77).

Sudah menjadi adat orang Melayu menuruti atau meniru cara orang zaman dahulu. Lantas mereka cepat menerima ajaran agama orang zaman dahulu tanpa banyak soal. Sikap ini ditegur di dalam sebuah ayat berbunyi,

"Dan apabila dikatakan kepada mereka, 'Ikutlah apa yang Allah turunkan', mereka berkata, 'Tidak, kami akan mengikuti apa yang kami mendapati bapa-bapa kami buat.' Apa? Dan jika bapa-bapa mereka tidak memahami sesuatu, dan mereka tidak mendapat petunjuk?" (2:170).

Dua cara berlebih-lebihan dalam agama yang diamalkan oleh orang zaman dahulu tetapi masih menjadi ikutan masyarakat Melayu pada hari ini dapat dikesan. Cara yang pertama ialah dengan menambah apa yang telah ditetapkan Allah di dalam al-Quran, dan kedua, mengadakan apa yang tidak disebut di dalam Kitab itu.

Segala penambahan dalam agama adalah perbuatan ulama palsu yang berlandaskan fahaman mereka atas amalan rasul yang palsu. Firman-Nya,

"Sekiranya dia (Muhammad) mengada-adakan terhadap Kami sebarang ucapan, tentu Kami mengambilnya dengan tangan kanan, kemudian pasti Kami memotong urat jantungnya" (69:44-46).

Golongan yang keinginannya menjadi ikutan selanjutnya didapati mengharamkan makanan yang tidak diharamkan Allah (6:119). Ini juga perbuatan ulama palsu. Kerana bilangan item yang berkaitan dengan makanan terlalu banyak mereka haramkan, yang jauh melebihi had yang Allah tentukan, maka orang Melayu berada dalam keadaan seperti terpaksa menjauhkan diri daripada bangsa lain yang serba-serbinya dianggap tidak suci. Lalu timbullah perasaan syak wasangka di kalangan rakyat yang bertentangan dengan firman Allah berbunyi,

"Wahai manusia, Kami mencipta kamu lelaki dan perempuan, dan membuat kamu berbangsa-bangsa, dan bersuku-suku, supaya kamu mengenali satu sama lain" (49:13).

Golongan itu juga dikatakan Allah menyembah manusia (6:56). Perbuatan menyembah manusia, dalam erti kata yang mudah, adalah amalan menerima pakai ajaran agama manusia sambil menolak ajaran Allah dan Rasul yang terkandung di dalam al-Quran.

Mereka turut melakukan kezaliman (30:29), dan ketidakadilan dalam penghakiman (38:26). Kemuncak dalam amalan yang mengikuti keinginan ialah apabila ia dijadikan seperti tuhan kerana sesuatu pengetahuan yang dimilikinya. Orang itu, kerana ilmunya, enggan mendengar, memahami, dan melihat kepada kebenaran apabila datang kepadanya. Firman-Nya,

"Sudahkah kamu melihat orang yang mengambil keinginannya untuk menjadi tuhannya, dan Allah menyesatkan dia atas satu pengetahuan, dan meletakkan satu penutup pada pendengarannya, dan hatinya, dan meletakkan satu penudung pada penglihatannya? Siapakah yang akan memberi petunjuk kepadanya selepas Allah? Apa, tidakkah kamu mengingati?" (45:23).

Ada juga orang Melayu yang berilmu menolak kebenaran yang datang kepadanya kerana dia melihat kepada siapa (orang) yang berkata, bukan apa yang dikata.

Golongan kedua dalam kategori yang paling berat ini ialah orang yang berada dalam perpecahan yang jauh dan tidak percaya kepada al-Quran. Firman-Nya,

"Katakanlah, 'Apa pendapat kamu, jika ia (al-Quran) adalah daripada Allah, kemudian kamu tidak percaya kepadanya? Siapakah yang lebih sesat daripada orang yang dalam perpecahan yang jauh?'" (41:52).

Perpecahan ini termasuk perpecahan pertalian persaudaraan antara sesama manusia atau sesama ahli keluarga. Permusuhuan berlaku antara orang yang percaya kepada al-Quran dengan orang yang tidak percaya. Keluarga Nabi sendiri berpecah kerana al-Quran.

Golongan ketiga dan terakhir dalam kategori kesesatan yang tertinggi ini ialah orang yang menyeru kepada selain daripada Allah yang tidak menyahut langsung seruannya. Allah memperingatkan perihal amalan ini dengan sebuah ayat berbunyi, "Siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyeru selain daripada Allah, yang tidak akan menyahutinya hingga Hari Kiamat, dan mereka, pada seruan mereka lalai?" (46:5).

Mungkin orang yang diseru itu dianggap suci seperti wali atau Rasul yang sudah meninggal dunia. Menurut al-Quran (27:80, 30:52, dan 35:22) orang yang meninggal dunia tidak dapat mendengar, dan tidak pula disebut pengecualiannya. Oleh sebab itu mereka lalai, atau tidak sedar, pada seruan orang yang menyeru. Seruan kepada mereka lazimnya untuk memohon pertolongan atau perlindungan. Walau apapun motif, atau setinggi manapun tahap kesucian orang yang sudah mati itu disangka, namun, amalan menyeru mereka tetap sesat, sesesat-sesatnya.

Perkara-perkara seperti ini harus diajar kepada kanak-kanak di bangku sekolah dari peringkat rendah lagi. Pendidikan agama di sekolah kerajaan harus menitikberatkan kajian al-Quran dan membiarkan pengajaran lain dalam kurikulum agama kepada sekolah agama persendirian. Terasa terkilan sekali apabila mendapati anak-anak Melayu setelah berada 11 atau 13 tahun di bangku sekolah tidak memahami atau mengetahui kandungan Kitab suci itu. Pembelajaran agama yang selain al-Quran terbukti telah melahirkan nilai-nilai negatif seperti berperasaan lebih suci daripada orang lain.

Sikap menganggap orang lain sebagai sesat atau tidak Islam, atau menganggap diri sendiri sebagai orang yang dapat memberi petunjuk kepada orang lain dapat dikikis dengan pendidikan al-Quran yang sempurna. Pelajar dapat menghayati kesucian Islam yang sebenar setelah memahami ayat-ayat Allah seperti firman-Nya yang berbunyi

"Bukanlah atas kamu (Muhammad) menjadikan mereka mendapat petunjuk, tetapi Allah memberi petunjuk kepada siapa yang Dia mengkehendaki" (2:272).

Dengan menyedari hakikat bahawa Allah sahaja yang memberi petunjuk kepada hamba-Nya maka masyarakat Melayu akan memahami hal kewujudan pelbagai fahaman di kalangan mereka dan akan bersikap lebih terbuka dan toleran. Mereka tidak akan memaksa orang lain untuk menuruti fahaman agama mereka kerana percaya dan taat kepada perintah Allah dan Rasul berbunyi "Tidak ada paksaan dalam agama. Yang benar telah jelas daripada yang salah" (2:256). Tentu masyarakat Melayu akan balik kepada keadaan sedia kala iaitu hidup bersatu dalam harmoni dan kesejahteraan.

sumber dari http://www.e-bacaan.com/artikel_budayasuci.htm
Related Posts with Thumbnails