Kerajaan Negeri Selangor adalah punca sebenar kenaikan mendadak kos sara hidup terutama di bandar-bandar di Selangor dan terkesan ke negeri-negeri lain.
Pakar ekonomi, Isham Jalil berkata, kenaikan itu berlaku antara tahun 2008 dan 2011. Pada ketika itu GST belum pun dilaksanakan dan negeri Selangor serta Pulau Pinang adalah dua negeri yang mengalami kenaikan tertinggi berbanding negeri-negeri lain.
Beliau yang berkelulusan Universiti Harvard berkata, ketika Pakatan Harapan mengambil tampuk pemerintahan daripada Barisan Nasional pada 2008, mereka cuba meningkatkan pendapatan negeri dengan menaikkan kadar cukai yang terlampau tinggi antaranya cukai hartanah termasuklah premium tanah dan cukai perlingkungan semula (rezoning) sehingga ada yang mengalami kenaikan sebanyak 300 peratus.
"Cukai-cukai ini ketika BN memerintah tidak setinggi itu. Satu ketika MB Selangor ada umumkan pendapatan negeri sebanyak RM3 bilion dengan 81 peratus adalah dalam bentuk cukai hartanah dan kos perumahan.
"Yang sebenarnya inilah yang mendorong kenaikan kos terutamanya di bandar-bandar. Bukan itu sahaja sewa tapak untuk menjalankan perniagaan juga naik mendadak.
"Jika dahulu sewa tapak hanyalah RM30 tetapi bila Pakatan Harapan memerintah, ianya telah dinaikkan sehingga RM300 lebih.
"Kalau peniaga terpaksa membayar kos sewa yang tinggi, berapa harga barang yang perlu dijual untuk menampung kos sewa? Keadaan ini menekan para peniaga dan akhirnya harga barang akan turut naik," katanya.
Beliau berkata demikian dalam rancangan Ruang Bicara, Bernama TV di Astro 502, hari ini.
sumber : terengganutimes.com