Pendakwah bebas, Dr Ridhuan Tee Abdullah hari ini menyifatkan perlakukan raja bomoh dalam usahanya mencari pesawat hilang Malaysia Airlines MH370 hanya akan lebih menyesatkan umat Islam jika ada yang terpedaya dengan upacara ritualnya itu.
Beliau berkata, jika upacara sedemikian berlaku ketika zamannya hendak memeluk Islam suatu masa dahulu pasti hajatnya itu tidak kesampaian.
"Kebimbangan saya, jika ditakdirkan bomoh itulah yang menjumpai MH370 itu nanti, semakin ramailah umat Islam yang akan percayai kepada bomoh daripada menumpahkan ketaatan kepada Allah.
"Jika ditakdirkan saya melihat perbuatan umat Islam dalam mencari MH370 sebegini, sudah tentu saya tidak jadi memeluk Islam," katanya menerusi satu artikel dalam akhbar Sinar Harian hari ini.
Ibrahim Mat Zin atau juga dikenali sebagai raja bomoh datang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dua kali sepanjang minggu lalu bagi mengadakan upacara ritual untuk mengesan pesawat MH370 yang hilang sejak dua minggu lalu.
Dia yang pada mulanya mengaku diupah oleh orang kenamaan mengubah kenyataannya mendakwa upacara itu dilakukan atas inisiatifnya sendiri.
Ridhuan berkata, umat Islam sewajarnya perlu melihat apa yang terkandung dalam ajaran agama Islam itu sendiri berbanding melihat perlakuan segelintir pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, dalam pencarian MH370, umat Islam digalakkan berserah kepada Allah kerana Dialah yang lebih mengetahui hikmah di sebalik semua kejadian ini.
"Ketika saya memeluk Islam dahulu pun, saya mengkaji Islam dan mendalami Islam. Sebagai umat Islam, segala tindak-tanduk kita mestilah berteraskan kepada Al-Quran dan sunnah.
"Apa jua perbuatan yang bercanggah, hendaklah ditolak kerana boleh menjejaskan akidah. Ingin saya jelaskan, perbuatan berbomoh seperti dilakukan ini bukan daripada ajaran Islam, meskipun ada yang mendakwa ia mengikut kaedah Islam," katanya.
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia itu berkata, apa yang dilakukan oleh bomoh itu bukan sahaja mengundang keaiban yamg besar kepada Malaysia malah negara menjadi bahan ketawa.
Katanya, jika benar bomoh mahu membantu mencari MH370 dengan 'kesaktiannya' maka ia perlu dilakukan di tempat tertutup supaya tidak menjadi perhatian umum.
"Anak-anak saya yang berada di Iskandariah, Mesir, amat malu dengan kejadian ini. Menggunakan bomoh dan sihir mencari MH370 menjadi bahan ketawa dunia.
"Jika ditanya orang kafir sekalipun, mereka tidak akan mempercayai perkara tersebut. Paling kurang, mereka tampil bermeditasi dan berdoa mengikut cara masing-masing," katanya. - 17 Mac, 2014.
MALAYSIAINSIDER