Saturday, October 13, 2012

INI YANG GUAN ENG TAK SANGGUP TENGOK..50 RIBU VETERAN UMNO AKAN BANTU BN PULAU PINANG

BUKIT MERTAJAM - Veteran Umno Pulau Pinang akan menggerakkan lebih 50,000 anggotanya bagi membantu Barisan Nasional (BN) di negeri ini pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Timbalan Pengerusinya Datuk Ismail Din berkata usaha itu bagi memastikan BN merampas kembali Pulau Pinang daripada pakatan pembangkang yang diterajui Ketua Menteri Lim Guan Eng.

"Veteran Umno adalah seperti duta kecil kepada Umno dan BN kerana kami akan berkempen dari rumah kami sendiri supaya menyokong BN.

"Kami bekerja secara sukarela dan tekad kami hanya untuk membantu BN agar terus memerintah negara," katanya kepada pemberita selepas persidangan tahunan Veteran Umno Bahagian Permatang Pauh di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid dan kira-kira 100 veteran Umno bahagian itu menghadiri persidangan berkenaan.

Ismail berkata anggota Umno tidak perlu bimbang kerana kewujudan anggota veteran adalah untuk membantu parti dan BN dan bukan merebut jawatan dalam parti itu.

"Umno di Pulau Pinang ada lebih 200,000 anggota di 13 bahagian dan kehadiran kami untuk membantu parti pada PRU-13 nanti bukan untuk merebut jawatan," katanya.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata pihaknya menyambut baik penubuhan veteran Umno di Permatang Pauh kerana ia dapat membantu jentera parti.

Katanya ini kerana kebanyakan mereka boleh bertugas sepenuh masa berbanding anggota lain yang mempunyai komitmen kerja.

"Sumbangan mereka memang besar kepada parti dan saya percaya kematangan mereka dalam berpolitik dapat membantu Umno terutama di Permatang Pauh," katanya. - Bernama

tahniah kepada veteran umno pematang pauh kerana telah bangkit bersama kami membantu BN negeri  untuk merampas kembali pulau pinang dari kerajaan DAP . 

Thursday, October 11, 2012

PEMBUAT FITNAH SCORPENE ADALAH PEROSAK MINDA RAKYAT...!!!!

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak mengambil tindakan terhadap pihak yang mencipta fitnah berhubung perbicaraan dakwaan rasuah oleh sebuah syarikat Perancis berhubung pembelian dua kapal selam Scorpene buatan Perancis oleh Malaysia pada tahun 2002. 

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menggesa tindakan sewajarnya diambil terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggunakan isu berkenaan dalam ceramah-ceramah dan kenyataan-kenyataan beliau bagi memfitnah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka turut meminta agar pertubuhan tidak berdaftar, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang menjadi arkitek kepada fitnah berkenaan diharamkan kerana mengada-adakan isu perbicaraan yang kononnya sedang berlangsung di Perancis.

Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, pihak berkuasa harus bertindak memandangkan isu ini berkait rapat dengan maruah Malaysia dan rakyatnya di mata dunia, terutama dalam kalangan negara maju.

Katanya, pendedahan oleh pendakwa kerajaan Perancis yang terkenal, Yves Charpenel bahawa perbicaraan yang didakwa sedang berlangsung di negara itu sebenarnya tidak berlaku itu, harus dipuji.

“Pengakuan Charpanel sekali gus menepis fitnah, tanggapan dan persepsi yang cuba diwujudkan Suaram serta parti-parti pembangkang terhadap Perdana Menteri demi matlamat politik sempit mereka semata-mata," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Charpenel menafikan laporan-laporan media yang disebar oleh beberapa portal berita dalam talian Malaysia berhubung perbicaraan berkenaan tentang dakwaan isu kapal selam Scorpene.

Beliau berkata, media di Malaysia harus dapat membezakan antara khabar angin, fakta, siasatan dan perbicaraan.

“Saya sedar tentang semua kekecohan yang dibangkitkan media tertentu di Malaysia berhubung perkara ini tapi apa yang saya boleh kata, ini adalah tidak lebih daripada satu perbicaraan oleh media," katanya.

Jelas Hamidzun, rakyat Malaysia berasa lega dengan kenyataan Charpenel yang membuktikan urusan pembelian peralatan ketenteraan oleh kerajaan adalah telus dan tidak meragukan.

“Kenyataan daripada wakil Perancis ini sangat positif dan akan melonjakkan lagi imej Perdana Menteri sebagai pengamal nilai ketelusan, amanah dan keadilan terhadap segala urusan pentadbiran beliau," ujarnya.

Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip pula yakin kenyataan Charpenel itu akan meresahkan pakatan pembangkang yang kini merasakan mereka tergugat akibat tindakan jahat mereka sendiri dalam meracuni pemikiran rakyat.

Menurut beliau, pembangkang pasti akan mendakwa pula Charpenel merupakan tali barut atau perkakas yang digerakkan BN atau UMNO untuk mengaburi rakyat, seperti pernah mereka lakukan pada isu-isu lain yang tidak memihak kepada mereka.

“Selama ini, Suaram dan pembangkang galak membuat perbicaraan sendiri di dalam portal-portal berita bagi mengelirukan rakyat, namun telah gagal. Mereka pastinya patah hati kerana rancangan mereka untuk memburuk-burukkan Malaysia rosak teruk, yang terdedah hanya keburukan mereka sendiri," kata beliau.

Perkara sama turut ditekankan Presiden Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli yang menyifatkan pendedahan Charpenel sebagai cerminan kepada sikap buruk pembangkang dan ketuanya, Anwar.

Kementerian Pertahanan digesa mengambil tindakan undang-undang terhadap Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan pemimpin pembangkang yang terlibat memfitnah kerajaan kononnya kini berlangsung perbicaraan di Perancis tentang skandal pembelian kapal selam negara, Scorpene.

Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) berkata, kerajaan perlu mengemukakan saman malu terhadap pihak terbabit memandangkan fitnah serta pengkhianatan itu mencemar nama baik negara di mata komuniti antarabangsa.

Apatah lagi, kata beliau, pendakwaraya terkenal kerajaan Perancis, Yves Charpenel sendiri telah mengesahkan bahawa tiada perbicaraan seumpamanya berlangsung di negara Eropah itu.

"Dengan pembongkaran terbaharu pendakwaraya kanan itu (Charpenel), terbukti rakyat Malaysia telah ditipu dengan tujuan mengaibkan kerajaan serta menimbulkan kebencian terhadap pemimpin. 

utusan malaysia

Wednesday, October 10, 2012

DEWAN MERDEKA PWTC BERGEGAR DENGAN NASHARUDIN MAT ISA

asalnya dari Seminar Dakwah Nasional tetapi bertukar menjadi pentas ceramah oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa. beliau telah menggunakan kesempatan ini begitu baik sekali dengan membongkarkan perjalanan parti PAS bersama DAP dan PKR.  

Lokasinya ialah Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).Tidak payah sebut panjang-panjang semua orang tahu itu adalah bangunan dimana terletaknya ibupejabat UMNO. Petang Selasa suasana dingin dalam Dewan Merdeka 'jadi panas' bila bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa yang juga Ahli Parlimen Bachok,Kelantan naik ke pentas untuk menyampaikan kertaskerjanya pada hari akhir Seminar Dakwah Nasional di situ. 
Perhatian lebih 1,000 peserta yang terdiri dari tokoh-tokoh agama,intelektual dan pemikir serta wartawan yang membuat liputan bertumpu kepadanya. Beliau tidak membaca teks kertas kerjanya yang bertajuk " Dakwah Islamiyah Dalam Mendepani Kemelut Politik Semasa Malaysia' yang sudah diedarkan kepada para peserta sebelum itu. Sebaliknya beliau berucap tanpa teks. 
Ucapannya dengan nada sedarhana tidak panjang.Cuma sekitar 20 minit sahaja.Namun ia boleh kata menjadi ' kemuncak' seminar dua hari anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia ( MUAFAKAT). 
Isunya bukan soal seorang tokoh PAS berada lokasi - PWTC yang menjadi markas UMNO tetapi ledakan Nasharudin tentang perlunya umat Islam negara ini bersatu. Tanpa berselindung - beliau menyuarakan rasa hairan mengapa usaha untuk membincangkan masalah umat Islam terutamanya melibatkan dua parti terbesar orang Melayu Islam iaitu parti UMNO dan PAS dilihat sebagai 'taboo' atau dalam bahasa mudahnya 'haram'. 
Dari sudut politik Nasharudin dikira sudah langgar tembok menyuarakan semula pendirian dan pandangannya yang kontrovesial ini.                                                                           
Ini kalau kita singkap balik kisah tahun 2009 bilamana Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 'meletop' memintanya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS dan Ahli Parlimen Bachok jika masih meneruskan hasrat untuk menubuhkan kerajaan perpaduan UMNO-PAS. Menteri Besar Kelantan itu yang diketahui umum menyimpan dendam kesumat terhadap UMNO langsung tidak dapat menerima idea yang diketengahkan oleh tokoh moderate PAS ini. Tok Guru PAS itu sanggup tenggelam timbul dengan DAP sekalipun satu dunia tahu pendirian parti itu terhadap perjuangan asal PAS. 
Meneliti kata-katanya pada seminar itu jelas Nasharudin nampaknya sudah set tidak pandang belakang dan sedia berdepan dengan risiko tindakan partinya. "Adakah agama mengajar umatnya meletakkan ajaran Islam di tempat kedua semata-mata mahu mendapatkan kuasa?" kata yang dipercayai merujuk kepada sikap konservatif sesetengah pimpinan atasan  PAS dan golongan Anwarista parti itu yang membuka diri berdakap dengan DAP. 
Beliau mengingatkan kemenangan Islam terletak di tangan umatnya sendiri tanpa bantuan dari bukan Islam. Nasharudin mempersoalkan  dalam sejarah kemenangan umat Islam adakah ia pernah dibantu oleh orang bukan Islam.  "Saya pernah bertanya dua kali kepada seorang pemimpin Islam, adakah dalam sejarah kemenangan umat Islam, pernah dibantu oleh orang bukan Islam? "Beliau menjawab kemenangan Islam dari dulu sampai bila-bila berada di tangan umat Islam sendiri sahaja," katanya. 
Beliau juga bertanya "jika umat Islam negara ini terus berpecah belah, apakah yang bakal terjadi kepada umat untuk lima, 10 atau 15 tahun lagi? Beliau mengingatkan agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata sehinggakan sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua. 
Katanya dalam konteks politik hari ini, masalah perpecahan umat sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Beliau pergi lebih jauh lagi dengan mempersoalkan sama ada golongan bukan Islam kini berbaik dengan umat Islam "untuk kesenangan bersama dalam langkah percaturan politik singkat semata-mata untuk meraih sokongan di peti undi". "Atau sememangnya benar bukan Islam kini insaf dan mula mengenali Islam yang maha adil dan benar-benar ingin mendokong cita-cita Islam yang diimani oleh majoriti umat Islam dalam konteks mengubah pemerintahan sedia ada ke arah sebuah pemerintahan baru yang bersama-sama mendukung jemaah Islam?," 
Katanya jika benar begitu,takdirnya dalam PRU13 nanti,kumpulan bukan Islam memenangi suara terbanyak dalam parlimen,apakah amalan Islam yang terlaksana dalam pelbagai institusi kini termasuk Mahkamah Syariah,Perbankan Islam,Majlis Agama Islam Negeri-negeri dapat dipertahankan malah diperbaiki atau ia dihapus secara perlahan-lahan. 
"Kita amat bimbang jika berlaku keadaan habis madu sepah dibuang.Amat dukacita jika kita mengambil sikap terlalu kuat mengutamakan ikatan politik daripada menjaga agama dan mempertahankan agama Islam kita sendiri,"katanya.   
Serentak dengan itu Nasharudin secara terbuka di seminar itu menyifatkan tindakannya menghentam Karpal Singh menolak hajat PAS hendak tubuh negara Islam sebagai satu dakwah. Tanpa mempedulikan Pengerusi DAP itu kata hendak saman,beliau dakwa Karpal adalah anti Islam bukan anti-Hudud . Beliau menegaskan Karpal tidak berhak menentang perundangan yang ditetapkan Allah. 
Bekas Timbalan Presiden PAS itu juga menyuarakan sokongannya pada pandangan Timbalan Musyridul Am PAS,Datuk Dr Haron Din yang hentam Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana lancar buku seorang tokoh Islam liberal India yang tolak negara Islam di Kuala Lumpur baru-baru ini 
Pada awal ucapannya Nasharudin telah mencuri perhatian para peserta bila mendakwa satu majlis kesyukuran  telah diadakan selepas pilihanraya negeri Sarawak dimana ada doa dibuat agar  Malaysia menjadi negara Kristian. Beliau mengajak umat Islam bersatu untuk berdepan dengan strategi  yang dirancang oleh musuh Allah di negara ini. 
Bercakap kepada wartawan selepas seminar itu Nasharudin berkata beliau tidak bimbang langsung risiko berdepan dengan tindakan dari PAS kerana bersuara begini. "Pendirian saya jelas. Boleh kata semua tau pendirian saya. Saya tak takut nyatakan pendirian saya,"katanya. Baginya soal ahli parti dan sebagainya adalah soal kedua kerana yang utama ialah agama Islam. - AGENDAILY
Related Posts with Thumbnails